Powered by Blogger.
RSS

Islamic Widget

Monday, December 5, 2011

Ketika cinta beristighfar

    Hari ini dan semalam adalah dua perkara yang sangat jauh berbeza dan adalah mustahil untuk disamakan.. Begitu juga dengan kehidupan seorang insan yang bergelar manusia, pasti merasakan semalam itu tinggal kenangan dan merasakan hari ini sebagai satu permulaan yang baru. Tapi berbeza dari sudut pandang sebagai seorang muslim yang mukmin.. memandang semalam sebagai bekalan untuk akhirat dan hari ini sebagai nilai tambah untuk akhirat selagi mana masih diberi ruang dan peluang untuk hidup di muka bumi Allah ini. Alhamdhulillah... beruntunglah bagi mereka yang dapat merasakan hari-hari kehidupannya dapat diisi dengan perkara kebaikan. 

          Bicara seorang musafir bermula di sini. Sedikit demi sedikit kehidupan yang gelap ditembusi oleh cahaya kebenaran. Entah dari mana datangnya cahaya yang menembusi jiwa dan hati yang penuh dengan karat-karat jahiliah. Orang kata "tak kenal maka tak cinta" dan bila tak cinta maka tiadalah makna sebuah pengharapan dari apa yang dicintainya. Jika manusia yang dicintainya pasti mengharapkan sebuah kasih sayang dan perhatian terhadap dirinya... Jika kebendaan yang dicintainya, pasti memilikinya menjadi pengharapan... Namun jika Allah yang dicintainya pasti pengharapannya tertumpu pada redha Allah. Seorang musafir ini meneruskan langkah pencariannya.... semuanya bermula KETIKA CINTA BERISTIGHFAR.

              Subuh yang hening menjadi saksi cinta ini, kain sejadah menjadi bukti sujudnya seorang musafir dan Al Quran kecil itu, sebagai lambang beristighfarnya sebuah cinta. 

Ketika cinta beristighfar, cinta manusia tidak lagi menjadi sandaran pengharapan bagi musafir itu.
Ketika cinta beristighfar, memiliki segala bentuk kebendaan juga tidak menjadi impian buat musafir itu,
Ketika cinta beristighfar, air mata ketakutan sering membasahi pipi musafir itu,
Ketika cinta beristighfar, langkahnya tersusun dan dipimpin oleh nakhoda iman,
Ketika cinta beristighfar, tidak ada lagi keraguan dalam kehidupan musafir itu,
dan....
Ketika cinta beristighfar, semua tindakannya hanya mengharap redha Allah...


        Musafir itu tidak lagi mengejar mimpi, apatah lagi berangan-angan sebuah kebahagiaan tanpa batasan. Semua ini berlaku apabila cintanya beristighfar lalu membelakangi mimpi-mimpi yang tak pasti realitinya.. Bicara hati musafir itu mengatakan, "mengapa perlu mengejar mimpi?? sedangkan janji Allah itu sudah pasti"  "mengapa harus mengejar mimpi?? sedangkan jalannya hanya perlu dilewati..." 

" Jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan mengukuhkan kedudukan kamu " [Muhammad :7]

             Musafir itu yakin, ini bukan mimpi.. ini sebuah janji.. janji Allah buat hambanya yang bertaqwa dan berazam untuk menjadi amilin dalam penerusan dakwah dan tarbiah... menjadi pewaris dalam menyebarkan risalah islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

" Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh,(sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." [At-Taubah: ayat 111]

            Musafir itu mengatakan ini juga benar.. dan ini juga janji Allah yang benar.. apakah hati dan jiwa masih lagi ingin bermimpi?? 

             Alhamdhulillah, cinta yang beristighfar itu benar-benar membuat musafir yakin dengan perjuangan dan pengharapannya.. Tiada lagi gentar dalam dirinya melainkan rasa takut jika cinta yang beristighfar itu kembali membentuk karat-karat jahiliah. 

             Ya Allah, kurniakanlah aku lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMU, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMU, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMU. Ya Allah kurniakanlah aku iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah kurniakanlah aku cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari mara bahaya dan petaka. HambaMU mohon Ya Allah kecukupan yang tidak sampai hingga terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah aku Ya Allah iman yang sebenarnya sehingga aku tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah naungan rahmatMU kepada ku Ya Allah, keluargaku serta sesiapa saja yang bersama-samaku. Janganlah Engkau biarkan nasib diriku ditentukan oleh diriku sendiri, walaupun sekadar sekelip mata atau sekadar masa yang lebih pendek dari itu... Sesungguhnya hambaMU ini benar-benar mengharap rahmat dan redhaMU. - Aku Musafir Iman...

Sunday, November 27, 2011

Hijrahkan hatimu...

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh...

        Alhamdhulillah, Tiada kata yang agung untuk saya ucapkan melainkan kalimah syukur  kepada Allah SWT yang memberi kesempatan diri ini untuk berada pada tahun baru 1433 Hijrah.. Salam Ma'al Hijrah buat semua umat islam yang InyaAllah diredhai Allah SWT. 

       Setiap kali masuk bulan Muharram, pasti ada acara sambutan ma'al hijrah dilaksanakan. Begitu juga ditempat saya.. sambutan kali ini agak meriah kerana disusuli dengan majlis mini forum ma'al Hijrah. Bersesuaian dengan tema kali ini " PERSEFAHAMAN ASAS PEMBENTUKAN UMMAH" . Saya begitu kagum dan terpegun melihat Ahli panel bersemangat dalam menyampaikan mesej tentang HIJRAH dan pengertian disebalik tema pada tahun ini.. Benar apa yang dikatakan oleh ahli panel, persefahaman itu tidak semestinya kosong dari perselisihan pandangan, tapi perselisihan itu perlu dibatasi dengan kasih sayang sesama insan. Setiap ayat yang dikongsikan dengan masyarakat diselitkan dengan sirah para sahabat. Begitu cantik dan hebatnya persefahaman para sahabat ketika itu dan akhirnya membentuk perpaduan yang tidak akan goyah walau ribut jahiliah yang melanda. Subhanallah..

        HEBAT!! dan Sungguh hebat Alumni-alumni yang lahir dari sekolah tarbiah Rasulullah ini. Jiwa mereka benar-benar telah dirasuk oleh keimanan kepada Allah SWT. Hati mereka telah dikunci dengan ikatan kasih dan sayang. Persaudaraan mereka lebih utuh dari ikatan kekeluargaan. Diri ini tidak dapat membayangkan bagaimana persefahaman yang mereka jalinkan hingga perpaduan itu boleh kekal lama. Teringat sirah hijrah Rasulullah ke Madinah dan akhirnya membawa satu perubahan besar dalam sejarah islam, dimana pertembungan persaudaraan yang paling menakjubkan antara kaum muhajirin dan ansar. Persaudaraan yang dibina atas dasar keimanan ini, menjadikan umat islam pada ketika itu sangat kuat dan digeruni oleh masyarakat lain.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ
كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ
عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ
تَہۡتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya
[surah Ali Imran:103]


        Tertarik dengan ulasan yang diberikan oleh ahli panel. katanya "SE"fahaman akan wujud dan membentuk perpaduan jika ada 3 perkara ini.
1) keimanan yang berlandaskan Allah yang Esa
2) matlamat dan tujuan kita hanya satu
3) kena tahu penghujung hidup kita hanya satu iaitu kembali kepada Allah.

         Malangnya masyarakat islam hanya tahu tapi tak sedar akan kepentingan kesefahaman ini dan akhirnya terbentuklah masyarakat islam yang berpecah belah dan saling bermusuhan sesama sendiri.

Kita sering mendengar... "HIJRAH ITU PENGORBANAN", 
lantas apakah pengorbanan yang patut kita lakukan?
sejauh mana kita menghayati erti pengorbanan Rasulullah dan para sahabat dalam penghijrahan demi menegakkan syiar islam?

       Wahai saudara-saudaraku yang dikasihi.. ayuh! kita sahut cabaran ini dengan mengambil kisah-kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat sebagai batu loncatan untuk kita sama-sama memperbaiki diri dan menjadi mukmin yang dicintai Allah. Saudaraku.. bermula dengan diri kita dulu, mari sama-sama kita hijrahkan hati kita. Kalau dulu hati kita penuh dengan maksiat... kita buang segala maksiat dan kekotoran itu dan hijrahkan ia dengan banyakkan bertaubat.. Kalau dulu hati kita sering kali lalai dalam mengingati Allah, kita hijrahkan hati kita dengan mendekati rumah-rumah Allah dan orang-orang soleh. Kalau dulu hati kita sangat keras untuk menerima kebaikan, kita hijrahkan hati kita dengan memandang dan mensyukuri segala kenikmatan yang Allah beri kepada kita. Moga Allah memilih hati kita untuk bersama-sama dengan Rasulullah dan para sahabat di akhirat kelak. Allahuma ameen.. - Aku Musafir Iman

Tuesday, October 25, 2011

Hadiah buat ibu dan ayah



Alhamdhulillah... segala puji hanya milik Allah yang Esa..

       Tiga tahun... Masa yang cukup panjang dan lama.. seorang musafir iman ini berjihad di negeri orang semata-mata mencari redha Allah dan membawa sebuah kemenangan dan kejayaan untuk diperlihatkan kepada ibu bapa.. Tiada kata yang mula-mula terkeluar dari mulut ini melainkan ucapan syukur kepada Allah SWT.. ALHAMDHULILLAH...
       Buat insan yang dirindui (IBU AYAH).... walaupun kehadiranmu tidak kelihatan di majlis konvokesyen ini, namun segala nasihat, dorongan dan dokonganmu masih lagi terpahat kukuh dalam hati dan ingatan ini. 

"Ibu"... Anakmu ini sentiasa merinduimu, walaupun berjauhan namun kasih sayang dan belaian ibu tetap saya rasakan... teringat pesan ibu, "Hati-hati bila belajar ditempat orang" . Pada mulanya tak faham kenapa ibu suruh "hati-hati".. selepas 3 tahun belajar di negeri orang baru anakmu ini mengerti makna sebuah pencarian ilmu perlu di dasari dengan iman dan langkah berhati-hati agar ilmu yang dipelajari tidak memudaratkan diri bahkan dapat melindungi diri dari sebuah kejahilan. ( berkat belajar di KOLEJ TEKNOLOGI DARULNAIM KELANTAN)

"Ayah"... Jangan risau, anakmu ini tak kecil hati sebab ayah tak dapat datang pada majlis konvokesyen.. Saya faham, ayah bukan tidak mahu datang, tapi ada hal yang lebih penting ayah kena uruskan.. Teringat juga pesan ayah sebelum pergi berjihad di negeri orang.. " Lepas ini tidak mahu dengar alasan kenapa tidak berjaya" ... Ayah! anakmu ini dah buktikan, kejayaan itu telah saya raih di atas pentas dan gambar itu menjadi saksi anakmu ini tidak menghampakan harapan ayah... (berkat doa ayah yang tak putus-putus mengharap sebuah kejayaan anaknya)

"Ayah dan ibu" wajah-wajah merekalah yang menceriakan suasana konvokesyen anakmu ini.. 

Sebuah kemenangan dan kejayaan buat ayah ibu telah saya buktikan.... tetapi kemenangan dan kejayaan di akhirat sana masih lagi ku dambakan... (luahan hati) - Aku musafir iman

Friday, September 23, 2011

SELAYAKNYA AKU MENCINTAIMU 3



Alhamdhulillahi rabbil alamin...Allahumma sholli ala saidina Muhammad wa'ala alihi Muhammad..

      Alhamdhulillah, Syukur ku panjatkan ke hadrat Allah SWT yang memberi ruang dan peluang kpd diri ini untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda , para sahabat serta muslimin dan muslimat yang turut bernaung di bawah naungan iman dan islam.

      Trend anak muda sekarang, bila ingin meluahkan rasa cintanya.. pasti luahan itu disampaikan melalui media massa. tak kiralah melalui kemudahan internet mahu pun telefon.. dan yang paling famous adalah luahan paparan di laman sosial "MUKA BUKU". Kekadang saya sendiri yang merasa malu bila membacanya... seolah-olah mereka tidak tahu bahawa medium ini adalah medium umum yang boleh dilihat oleh sesiapa saja. atau mereka ini sengaja ingin memberitahu kepada dunia bahawa mereka sedang "In Love".. Wahai dunia!!! lihatlah.... kami ini pasangan yang sedang hangat bercinta!!! ya... kalau itu yang mereka inginkan pasti dunia ini menghamparkan mahligainya untuk kamu nikmati.. " wahai manusia yang hangat bercinta!!! silakan.... nikmatilah mahligai yang aku bentangkan ini.. moga kamu seronok dengannya!!! 

       Astaghfirullah... kalau inilah yang sering terjadi.. pasti generasi pewaris akan hanyut dibuai oleh tipu daya nafsu dan syaitan.. Tapi yang peliknya, bila ditanya siapa idola kamu? pasti jawabnya Rasulullah SAW.. mengaku Rasulullah sebagai idola, tapi kecintaan kepada Rasulullah tidak pernah disandarkan. Wahai jiwa-jiwa pemuda yang masih kuat dan bersemangat waja!!. Kita sering resah gelisah bila mana kita terlupa untuk memberi sesuatu kepada orang yang tersayang... tapi pernahkah perasaan itu wujud, bila mana kita terlupa untuk mengingati junjungan besar kita Rasulullah SAW? Wahai jiwa pemuda yang dirindui oleh Rasulullah SAW..  Kita sering merungut, bahawa semua yang berlaku ini disebabkan Rasulullah tidak bersama dengan kita... tidak ada contoh yang baik untuk diikuti. hinggakan kita sering mengatakan " Kalaulah Rasulullah masih hidup" pasti ini dan itu tidak akan berlaku....

         Wahai saudara seakidah ku yang berjiwa muda.. Rasulullah tidak pernah tinggalkan kita bahkan Rasulullah sebenarnya ada dan dekat dengan kita... cuma kita tidak merasai kehadiran jasadnya. Lupakah kita dengan ayat Allah " Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu orang yang mengharap rahmat Allah dan (kedatangan) hari akhirat dan dia banyak menyebut Allah"  Kita sendiri tidak merasai kehadiran Rasulullah, sebab kita jauh dari amalan yang dibawa oleh baginda nabi SAW.  Kita tidak merasa kehadiran Rasulullah SAW kerana kita tidak mengamalkan Sunnahnya... Kita tidak merasa kehadiran Rasulullah SAW, sebab kita leka dengan keseronokan duniawi... Inilah kita... jiwa muda yang hatinya sakit dan hanya dibaluti dengan dunia dan akhirnya dengan dunia-dunia itu sekali membawanya ke arah kecelakaan di akhirat kelak...

        "Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu"

        Wahai jiwa pemuda yang hatinya masih mengharap pertemuan dengan Rasulullah SAW.. Malulah pada diri sendiri. Kalau Allah SWT saja boleh berselawat keatas Nabi SAW, bahkan para malaikat juga turut berselawat.. inikan pula kita sebagai hamba yang mengharap syafaat dari Nabi Muhammad SAW. Ingatlah, mulianya umat nabi Muhammad itu bila mana cintanya disandarkan pada kekasih Allah.. dan di akhirat kelak, pasti akan bersama-sama dengan insan yang mereka cintai.. Selayaknya kita mencintai Rasulullah SAW...  -Aku Musafir Iman.

Tuesday, September 20, 2011

Ambil tahu baru boleh tahu.

"Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di atas bumi, dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung" [Al-Jumuah:10]

       Alhamdhulillah, sesungguhnya Allah tidak pernah mencegah atau melarang hambanya untuk mencari rezeki. Seawal pagi seusai solat subuh saya bersiap untuk melaksanakan kerja-kerja harian yang telah diamanahkan. Kali ini, perjalanan mengambil masa dan jarak yang jauh. saya kena drive sorang-sorang dari Daerah Kunak ke Daerah Semporna dan dari Daerah Semporna ke Daerah Tawau dan seterusnya Dari Daerah Tawau terus balik ke Daerah Kunak. Seperti biasa pukul 7.00 pagi, sarapan di sebuah kedai makan. (Restoran seri aman).


          Dalam perjalanan nak pergi sarapan, tidak jauh dari rumah terlihat beberapa orang lelaki sedang mengait buah kelapa sawit.. Hati kecil ini bertanya, apa mereka ini sudah sarapan? melihat jam ditangan menunjukkan pukul 7.15. dan melihat mereka ini pasti sudah berkeluarga.. Sekali lagi hati kecil ini bertanya, apa anak-anak mereka menyedari kepergian mereka untuk mencari nafkah untuk menyara hidup keluarga mereka?. Moga Allah memberkati keluarga ini...

             Alhamdhulillah, sesudah  sarapan terus menuju ke rumah kakak yang terletak di perkampungan atas air (perkampungan nelayan). Setiap hari kena lapor diri dengan kakak. Maklum mak ayah duduk berjauhan nun jauh diseberang (indonesia).

          Suasana pagi di pelabuhan Kunak atau lebih tepat di Kampung Pangkalan memang agak riuh, kerana pada ketika ini para nelayan dengan kapal dan botnya akan berlabuh di jeti ini untuk menaikkan(menjual) hasil tangkapan masing-masing. Terlihat seorang hamba Allah yang keseorangan di atas bot sambil menunggu orang ramai datang membeli hasil tangkapannya. Melihat wajah nelayan itu penuh dengan pengharapan. Pasti kehidupan seorang nelayan ini penuh dengan pancaroba.. bergelumang dengan ombak di lautan demi menyara keluarga mereka.. Moga Allah merahmati dan memberi rezeki yang melimpah kepada keluarga ini..


          Setibanya di pekan Semporna, di sebuah terminal jeti.. mata penulis ini terarah ke bot-bot kecil yang sedang menunggu orang ramai atau pelancong untuk pergi ke pulau-pulau yang berdekatan.. mereka ini ibarat teksi.. hanya bezanya mereka bergerak di atas air..  pandangan ini fokus melihat kelibat dua orang budak kecil, nampak dari jauh, rasanya mereka ini adik-beradik dan umur sekitar sembilan atau sepuluh tahun. Pada usia sebegini, mereka sudah boleh mengendalikan bot untuk membawa penumpang dari pulau-pulau kecil ke pekan Semporna. Memang menakjubkan. TAPI apakah mereka ini tidak bersekolah? sebuah pertanyaan dan sedikit rasa sedih menyapa hati penulis... Moga Allah sentiasa memelihara mereka..


         Kerja-kerja pemantauan di daerah Semporna sudah selesai, saya dengan kereta pancuan 4 roda yang senantiasa menemani saya ke mana saja arah terus bergerak ke arah barat Sabah untuk membuat pemantauan  di Daerah Tawau.. Sedikit rasa letih pada ketika itu, hilang bila melihat sepanjang jalan menuju ke Tawau ada beberapa orang pekerja yang sedang memotong rumput di tepi jalan raya. huh!! rasanya mereka ini lebih penat dari saya. Mereka tidak duduk, mereka hanya berjalan kaki dengan sebuah alat pemotong rumput. Mereka tidak berteduh dan beraircond, mereka hanya mengenakan topi dan berada dibawah sinaran mentari yang panas terik.. mereka ini lebih letih dari saya.. Kalau orang macam mereka ini tidak wujud, pasti jalan akan ditutupi dengan rumput yang memanjang (monolog hati ). Moga Allah memberi mereka kekuatan dalam melakukan kerja-kerja yang mulia ini.

     Apa saja bentuk pekerjaan yang dilakukan mestilah bersandarkan kepada Allah SWT, kerana setiap perkara yang kita lakukan itu pasti mendapat ganjaran di sisi Allah selagi mana kita ikhlas melakukannya semata-mata untuk meraih redha Allah SWT. " sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya". -Aku Musafir Iman.

Monday, September 12, 2011

mereka juga punya impian


        Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.... 

         Berbicara mengenai impian, pasti semua manusia di dunai ini mempunyai impian masing-masing... bagi seorang bapa atau mak mereka menginginkan anak-anak mereka berjaya dan menjadi manusia yang berguna suatu hari nanti. Bagi seorang pemimpin sebuah negara, mungkin saja impiannya melihat negaranya suatu hari nanti sentiasa dalam keadaan makmur dan sejahtera. Bagi seorang pendidik atau guru, mungkin saja impian mereka mengharapkan anak didiknya dapat memanfaatkan ilmu yang diberikan. Bagi seorang usahawan, pasti mengimpikan sebuah kejayaan dengan apa yang diusahakan. Hampir semua manusia yang bila ditanya mengenai sebuah impian, pasti sebuah KEJAYAAN menjadi harapan atau impian mereka baik di dunia dan akhirat.
        Alhamdhulillah, di ruangan ini saya ingin berkongsi sedikit dengan sahabat-sahabat mengenai pengalaman saya disebuah tempat yang sangat menarik di mana tempat ini mengumpul beribu-ribu impian dan azam. Tidak jauh dari sebuah tempat yang mengkagumkan dan popular di mata pengunjung atau pelancong.. Sebuah pulau kecil yang menjadi kebanggaan masyarakat di sekitar Daerah Semporna Sabah. PULAU SIPADAN.. mungkin nama pulau ini tidak asing lagi bagi mereka yang berminat melancong atau datang berkunjung ke Sabah. Namun, saya bukanlah nak menulis keindahan Pulau Sipadan ini, tapi sebuah pulau yang berhampiran dengan Pulau Sipadan, Sebuah Pulau yang didiami oleh lebih 2000 penduduk. PULAU MABUL... ya, pulau inilah yang saya maksudkan, pulau yang pasti menjadi salah satu memori indah dalam permusafiran saya.

          Ada apa dengan Pulau Mabul? itulah pertanyaan yang pasti sahabat akan ajukan.. Jika dilihat dari sudut keindahan, pulau ini sama saja dengan pulau yang lain yang ada di sekitar negeri Sabah.. Jika dilihat dari sudut pembangunan masyarakatnya yang mendiami pulau ini, masyarakatnya agak ketinggalan berbanding dengan pulau-pulau lain... Namun Pulau ini menyimpan seribu impian yang jarang sekali ditemukan di mana-mana pulau di sekitar negeri Sabah ini.Sehari keberadaan saya di pulau ini sudah cukup membuatkan saya begitu teruja dengan apa yang saya lihat dan dengar melalui perkongsian dengan masyarakat di sekitar pulau ini. 

Pondok madrasah yang serba kekurangan ini menempatkan lebih 200 orang pelajar, dan hanya memiliki seorang guru. Cuba kalian bayangkan... zaman sekarang  sebuah institusi pendidikan yang didiami oleh beratus orang murid namun ditadbir oleh seorang guru... Subhanallah ...Saya begitu kagum dengan semangat  yang ditunjukkan oleh masyarakat di pulau ini. saya dan rakan-rakan yang lain sempat meluangkan sedikit masa untuk berkongsi ilmu dengan adik-adik ini dan memberi mereka semangat untuk terus mengejar impian mereka. Sempat juga saya bercerita panjang dengan seorang pakcik. Pakcik ini, menyimpan satu impian yang sangat mulia bagi saya... dia mengharapkan suatu hari nanti anak-anak di pulau ini dapat menuntut ilmu lebih jauh, keluar dari kepompong pulau ini. 
          Dalam kerancakan saya berbual-bual dengan pakcik ini, Alhamdhulillah Allah izin saya bertemu dengan guru yang mengajar di pondok ini. Melihat raut wajahnya sudah cukup menggambarkan beliau ini adalah seorang yang prihatin dan mesra dengan masyarakat. Dia begitu gembira bila melihat kehadiran kami untuk menziarahi dan berkongsi ilmu dengan anak-anak di pulau ini. Saya sedikit terkejut bila dapat tahu, ada dua orang anak kelahiran PULAU MABUL ini dapat melanjutkan pelajaran di sebuat IPT di kelantan.. IPT yang juga tempat saya menimba ilmu.. Alhamdhulillah... mereka sangat bangga dengan pencapaian 2 orang anak kelahiran pulau ini yang dapat menyambung pelajaran sampai ke peringkat IPT. Masyarakat sini mengharapkan agar anak-anak kelahiran pulau ini dapat menimba ilmu sebanyak mungkin di negeri orang dan kembali untuk berkhidmat di pulau ini. Semoga harapan dan impian serta pengorbanan masyarakat sini menjadi kenyataan suatu hari nanti. -Aku Musafir Iman.

Thursday, September 8, 2011

pulau mabul

Sabah tanah airku
Negeri kita yang tercinta
Pemuda, pemudi,
Semua marilah,
Bangunlah bersatu semua...


erm.. saja nak promote Sabah.. Permusafiran saya kali ini ke Pulau Mabul... Jom ikuti perkembangan sehari di Pulau Mabul...


> TAMAN-TAMAN AIR SEMPORNA..... tempat ni memang cukup menarik, bagi mereka yang suka melancong dan berpeluang datang ke Sabah boleh la singgah di sini, Tempat ini, menjadi tumpuan pelancong sama ada dari dalam mahupun dari luar negara kerana tempat ini menjadi stesen bot2 untuk membawa pengunjung melihat keindahan pulau-pulau disekitar SEMPORNA termasuk PULAU SIPADAN.

> kalau sahabat2 diluar sana berhajat nak datang beramai2 blh lah menaiki bot kayu ini coz memuatkan 30 orang.... Jgn risau, bot ini dilengkapi jaket keselamatan... (^_^)

> ini salah satu bntuk resort yang ada di PULAU MABUL... cantikkan?? datanglah sini...

> Alif Ya Mim = BUAYA..... hehe, melihat tempat ini teringat filem pendekar bujang lapok... Tapi ini sebenarnya adalah madrasah yang dibina oleh penduduk kampung yang berada di PULAU MABUL.. nampak usang, tapi semangat anak2 di sini untuk menuntut ilmu begitu tinggi.. sempat juga saya beramah mesra dengan mereka, dan hampir semua mereka bercita-cita untuk menjadi tenaga pengajar suatu hari nnt di pulau ini..

> Subhanallah.... inilah keindahan pantai dan laut di PULAU MABUL.. sangat mempersonakan.... apa tunggu lagi... datanglah sini.... kalau tak ada guide, saya blh tlg carikan.. hehe.

Thursday, August 11, 2011

Senyuman Ramadhan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarahkatuh.....


       Alhamdhulillah, setelah lama menyepikan diri dalam dunia blog ini, akhirnya Allah izin juga untuk saya mencoretkan sesuatu dalam ruangan AKU MUSAFIR IMAN.  Sebenarnya tak ada apa yang menarik yang nak dikongsi kali ini, hanya nak memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang masih memilih diri yang kerdil ini untuk menjadi tetamuNYA di bulan Ramadhan.. Alhamdhulillah, ramadhan dah masuk fasa yang kedua, dimana fasa kerahmatan dah berlalu moga setiap masa dan setiap detik yang berlalu di bulan ramadhan ini mendapat rahmat dari Allah SWT. tinggal lagi fasa magfirah dan fasa pelepasan atau pembebasan dari api neraka..
        bagi diri yang lemah ini, Ramadhan kali ini berbeza dengan ramadhan sebelumnya, sangat2 berbeza dari tiga tahun yang lalu.. Ramadhan kali ni terasa indah.... hampir setiap hari dapat melakar senyuman. seolah-olah ramadhan kali ini sangat bermakna buat saya. Alhamdhulillah, setelah tiga tahun berada di negeri orang, dan tiga tahun itu juga saya tidak dapat menyambut ramadhan dan Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Dan sekarang semuanya telah berubah. Dulu hanya tangisan kerinduan seorang ibu saja yang dapat didengari lewat telefon, tapi sekarang bertukar menjadi sebuah senyuman yang terukir dibibir ibu tersayang. Tiga  tahun yang lalu, hanya suara-suara anak kecil yang kedengaran setiap kali bertanya khabar di kampung. Tapi kali ini riang tawa dan gelagat si kecil mengusik jiwa. Jika tiga tahun lalu, hampir setiap ramadhan itu berbuka dengan juadah yang dibeli. Tapi ramadhan kali ini dapat merasai masakan seorang ibu dan kakak. 
          Begitu berbeza suasana ramadhan kali ini, semuanya berlaku dengan izin Allah. Semoga senyuman ramadhan kali ini dihiasi dengan peningkatan amal ibadah yang berterusan untuk meraih kejayaan di negeri akhirat sana. Allahualam.. - Aku Musafir Iman.

Tuesday, July 12, 2011

Nikmatnya Tarbiyah Islamiah

           Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

        Alhamdhulillah, syukur kehadrat Allah SWT yang masih memberi ruang dan peluang untuk kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNYA. Tidak ada perkara yang paling manis di dunia ini melainkan dapat tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Kerana di akhirat kelak, yang membezakan kita adalah tingkat ketaqwaan kita.
         Malangnya hari ini, jika dilihat  ramai yang merasa agung dan berasa megah dengan kekayaan dan kemewaan yang mereka miliki. Seolah-olah kekayaan itu adalah segala-galanya. Menganggap tidak sempurna kehidupan jika tidak memiliki kekayaan yang melimpah. Sanggup menjadikan yang batil menjadi hak di pandangan orang. Sanggup melakukan apa saja demi mencapai keinginan dan kehendak mereka dengan jalan apa sekali pun. Inilah yang terjadi dengan umat akhir zaman. Benarlah apa yang disebut oleh Rasulullah SAW bahawa umat akhir zaman nanti akan ditimpa penyakit wahn yakni cintakan dunia dan takutkan mati. Perkara ini tidak mustahil akan menjadi satu kebiasaan sekiranya nikmat tarbiyah islamiah tidak terpatri dalam hati setiap individu muslim.
          Lupakah kita dengan sirah Rasulullah? bagaimana baginda membawa masyarakat Jahiliah menjadi  masyarakat yang unggul di mata dunia? Kalau difikir semua ini adalah mustahil untuk mengubah sesuatu bangsa yang jahil menjadi bangsa yang beriman. Dahulu mereka sangat jahil dan bodoh, mereka menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan perbuatan keji, menzalimi mereka yang lemah dan banyak lagi. Tapi, semua ini telah berubah setelah Rasulullah SAW menanam tarbiyah islamiah ke dalam jiwa dan hati mereka. Jadi semua ini tidak mustahil jika kita yakin dan sedar bahawa tarbiyah islamiah itu perlu diterapkan ke dalam diri setiap individu muslim agar cahaya keimanan dapat menembusi kegelapan kejahilan dalam hati.
        Tarbiyah Islamiah yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk memperbaiki manusia dan merupakan cara ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia secara langsung dalam bentuk keteladanan untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan  yang lebih baik yang akan melahirkan keperibadian yang utuh, tidak terpecah dan bercabang. Peribadi yang mantap yang tercermin dalam keteguhan akidah, keluhuran akhlaknya, kebersihan hatinya, kebaikan tingkah lakunya. Oleh itu, Tarbiyah Islamiah secara umum difahami sebagai pendidikan Islam, yang bertujuan memberikan gambaran Islam dengan benar dan menyeluruh, yang meliputi seluruh aspek kehidupan, bukan hanya sebagai ibadah ritual saja, sehingga yang mendapat tarbiyah, dapat memahami wajah Islam yang sebenarnya dan menjadikan Islam sebagai pedoman hidup . 
          Tarbiyah merupakan salah satu dari kewajiban seorang Muslim, sebagaimana firman Allah SWT, "Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang beriman itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjaga dirinya." (QS. 9: 122)  Tarbiyah merupakan proses pembelajaran yang terus menerus, dalam hal ini adalah pendidikan yang berkesinambungan dan pendidikan seumur hidup. Dengan pendidikan yang seumur hidup inilah maka tarbiyah harus diiringi dengan kekuatan untuk mempertahankannya, sehingga tidak menjadi surut di akhirnya. 
            Alhamdhulillah, Allah mempertemukan saya dengan sebuah institusi yang senantiasa mengambil tahu dan menguruskan tarbiyah Islamiah. Kerana mereka tahu akan kepentingan tarbiyah ini, kerana mereka faham dan sedar bahawa ciri-ciri pelajar atau muslim yang berjaya perlu adanya penerapan tarbiyah Islamiah agar bila mana mereka keluar dan berhadapan dengan masyarakat, mereka tidak akan goyah atau terbawa-bawa oleh gelombang kejahilan masyarakat. Tapi perlu diingat, tarbiyah itu perlu dibangun dari semasa ke semasa agar diri kita semakin kuat untuk terus berjuang menegakkan agama Islam. Kerana hanya Islam sahaja adalah sebaik-baik cara hidup dan pegangan yang membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. - Aku Musafir Iman.

PERJUANGAN SEORANG DA’EI
Da’ei itu…
Terus melangkah dan melangkah
Tanpa sedetik pun menoleh ke belakang
Tidak sesekali dibiarkan masa meninggalkannya sia-sia
Walau dia lelah dalam perjalanannya
Berhenti tidak walau sesaat cuma..

Da’ei itu..
Dengan tegar dia kembali ke tanah kelahiran
Yang masih kelam daripada cahaya keimanan
Dia bangkit dengan langkah perjuangan
Langkah yang mengajarnya erti pengorbanan
Di bumi yang masih kejahilan pedoman..

Da’ei itu..
Tanpa gentar dia ingin berdiri utuh di situ
Walau sering dilemahkan dengan nafsu yang satu
Tidak sesekali dirinya tertipu
Harta dan pangkat bukan ukuran
Cukuplah syahid baginya di jalan Tuhan

Da’ei itu..
Walau nyawa menjadi dagangan
Dia rela demi sebuah jihad dan pegangan
Syahid yang selama ini menjadi impian
Hanya itu yang dia harapkan dari Tuhan
Baginya hanya mati di jalan perjuangan
Mampu menghantarnya menghuni syurga Ar- Rahman

Da’ei itu..
Sungguh tabah hatinya
Begitu berani langkahnya
Teramat perit perjuangannya
Sangat hebat impiannya
Terlalu banyak usahanya
Demi melihat bumi yang jauh daripada hidayah
Subur dengan nur tarbiyyah..

Pesanan dari ku buat Da’ei itu..
Melangkah lah selagi terdaya
Tinggalkan rasa putus asa
Moga rahmat ALLAH sentiasa mengiringi langkahmu..
ALLAHUMMA AMIN….

Monday, June 6, 2011

Bicara Hati...

Assalamualikum...  (buat adik-adikku yang menuntut di KTD)



       Adakalanya kamu tidak suka tapi baik bagi kamu.... maaf mungkin tulisan ini sedikit menyentuh hati adik-adik, tapi inilah luahan hati atau bicara hati yang ingin saya kongsikan sebagai seorang abang yang merasakan punya tanggungjawab untuk menjaga kebajikan kamu.. Tangan dan jari-jari ini agak menggeletar sedikit, seolah-olah nak menggambarkan susahnya bicara hati ini nak diterjemahkan... Mungkin disebabkan emosi semalam yang masih terasa hingga ke hari ini.... mungkin juga tangisan hati semalam yang tidak dapat disembunyikan hingga ke hari ini... dan........................ mungkin juga disebabkan diri ini yang terlalu takutkan dengan azab Allah, menyebabkan setiap jari-jari ini sedikit lemah dan kaku untuk menekan huruf demi huruf di atas keyboard ini.
        Kenapa mesti hati dan perasaan ini yang menjadi mangsa tindakan kamu walaupun tidak diminta untuk merasakannya?? kenapa mesti diri ini yang menjadi bahan untuk diperlekeh dan disusahkan?? kenapa mesti fikiran ini yang menjadi tempat untuk memikirkan perlakuan dan masalah kamu?? kenapa? agak-agak, kenapa wahai adik-adikku? Bisakah seorang di antara kamu memberitahu abang... kenapa mesti diri ini? Mungkin ada di antara kamu yang mengatakan sebab abang ni ada jawatan dan tanggungjawab, dan mungkin ada juga di antara kamu ingin mengatakan  sebab abang ni suka menyibukkan diri untuk ambil tahu hal kami...
         Betul adik-adikku.. kalau itulah yang kamu fikirkan atau itu persepsi kamu terhadap abang atau pun  sebaliknya... semua itu juga betul. Itu hak kamu untuk berbicara.. TAPI, bukan disebabkan jawatan atau tanggungjawab yang menyebabkan abang menyibukkan diri untuk mengambil tahu setiap apa yang kamu lakukan.. Tapi atas dasar persaudaraan , saudara kamu yang sama-sama bermusafir jauh dari tempat kita dilahirkan... jauh dari keluarga tersayang. semata-mata ingin menuntut ilmu, dan mendapat tarbiyah islamiyah.. Sedikit pun, tidak pernah terlintas di fikiran dan hati abang ingin di sanjung dan dihormati. lebih-lebih lagi ingin  diberi pujian. Apa yang abang harapkan adik-adik dapat perbaiki diri.. dan menjadi insan yang dibanggakan oleh keluarga dan masyarakat.. 
         Tapi adik-adikku, kenapa kamu tidak dapat merasakan diri kamu itu adalah harapan setiap orang... harapan mak ayah dan keluarga.. kamu sering leka dengan dunia ini.. merasakan keseronokan di dunia ini akan berpanjangan dan kekal selama-lamaya.. Seolah-olah tindakan yang kamu lakukan itu semuanya benar kerana ingin turuti kehendak nafsu yang tidak pernah puas dengan keseronokan dunia.. Kamu tahu tindakan kamu akan menyusahkan orang lain, kamu tahu perbuatan yang kamu lakukan mengakibatkan persengketaan.. kamu tahu semua itu! tapi kenapa ? kenapa kamu lakukan? Memang benar kalau adik katakan sukar untuk berubah kerana dah terbiasa dengan kehidupan lampau, kehidupan lampau itu dah sebati dalam diri adik-adik.. Tapi abang nak tanya adik-adik.... sampai bila adik nak macam ini? sampai bila adik nak terus menjadi bahan perbualan orang lain? sampai bila adik nak terus bergelumang dengan dosa?.
           Kalau diri abang ini yang adik nak susahkan, kalau diri ini juga yang adik nak letakkan segala masalah dan bebanan.. Abang tak kisah, memang ini kerja-kerja abang... sedikit pun abang tidak akan berundur dari jalan ini. Tapi satu benda adik kena ingat, abang tidak akan merasakan sedikit kerugian tenaga mahupun wang ringgit.. kerana abang yakin tindakan abang ini, adalah jalan untuk abang lepas dari persoalan di akhirat kelak. Adik perlu fikir...  FIKIR masa depan adik-adik, FIKIR keadaan keluarga adik, FIKIR insan-insan yang menaruh harapan yang tinggi kepada adik-adik.... dan yang paling penting... FIKIR keadaan raut wajah dan hati seorang mak dan ayah apabila mengetahui keadaan adik yang penuh dengan masalah dan meranapkan harapan mereka..- Aku Musafir Iman

Tuesday, May 24, 2011

Exam Kehidupan


       Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..  Alhamdhulillah, selayaknya rasa syukur kita kepada Allah SWT tidak pernah putus dan jemu diucapkan..Kerana Fitrah seorang hamba itu adalah yang sentiasa mengucapkan syukur atas  nikmat yang diberikan.. Nikmat kehidupan ini begitu bermakna bagi setiap orang-orang yang beriman yang sentiasa mencari redha Allah sebagai bekalan di akhirat kelak. Oleh sebab itu segala ruang dan peluang yang Allah berikan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
      Firman Allah dalam Surah Al-Asr yang bermaksud:
           " Demi masa"
           " Sungguh manusia berada dalam kerugian"
           " Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan   
              kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran
              dan saling menasihati untuk kesabaran"

Jelaslah manusia itu selalu rugi, rugi kerana tidak manfaatkan masa yang diberi. Setiap kali saya membaca surah ini, pasti terdetik di hati, "hari ini berapa jam saya bazirkan masa?" . Menurut Imam Al Ghazali, perkara yang paling jauh itu adalah MASA... kerana masa itu tidak boleh diundur walaupun sesaat atau sedetik.. Dalam surah ini juga menyebut ada tiga golongan yang terhindar dari kerugian masa iaitu orang yang beriman, orang yang mengerjakan kebajikan dan orang yang sentiasa berpesan-pesan kepada kebaikan. 
            Sebenarnya dalam kehidupan kita ini telah banyak pembaziran masa yang telah kita lakukan, baik dalam keadaan kita sedar atau pun tidak sedar. Contoh paling mudah, yang acap kali berlaku pada seorang pelajar atau mahasiswa yang sedang menuntut ilmu.. Bila minggu pertama study, hampir semuanya Rileks ,santai... Seolah-olah tidak ada apa-apa yang dikhuatirkan.. Maklum exam lambat lagi. Tapi bila bahang exam kian terasa dan semakin hampir, keadaan bertukar dari yang rileks, bertukar menjadi busy, dari yang santai bertukar menjadi gelisah... rasa takut itu hadir dengan sendirinya... takut nak masuk dewan, takut nak tengok kertas soalan, rasa takut kalau nanti soalan tidak dapat dijawab.. Maka pada saat ini baru terasa masa itu sangat penting, baru sedar selama ini pembaziran masa telah banyak dilakukan.. Saya jadi teringat dengan seorang kawan yang suka belajar last minute.  Dia mengatakan kepada saya, "kenapa masa ini mencemburui?" .. saya gelak dalam hati mendengar pertanyaan itu. Masa itu ada perasaan kah? kalau masa itu ada perasaan, sudah lama masa itu akan memberi respon kepada kita disaat kita melakukan perkara yang sia-sia. 
           Sahabat-sahabat seperjuangan yang di kasihi, Peperiksaan akhir semster ini merupakan salah satu exam kehidupan di dunia yang perlu kita tempuhi dan harungi sesuai dengan title kita sebagai seorang pelajar. Nak tak nak, kita kena tempuhi juga. Kita kena persiapkan diri untuk menghadapinya. Cuba kita buat perbandingan exam masa study ini dengan exam kehidupan sebenar untuk kembali kepada Allah.... Kalau exam masa study ini masanya telah ditentukan, tapi exam kehidupan sebenar tidak... kita tidak tahu bila masa akan diberhentikan, selagi kita bernyawa dan masih hidup selagi itulah kita berada dalam peperiksaan kehidupan yang sebenar. Kalau exam masa study, kita akan diuji dalam ruang atau medium yang kecil, hanya dalam dewan peperiksaan, tapi kalau exam sebenar, kita akan diuji dalam ruang lingkup yang lebih luas, tidak ada keterbatasan tempat.. Di mana kita berada, dan di situlah kita menjalani peperiksaan.. Exam masa study juga, hanya ada beberapa pengawas yang menjaga dan memerhatikan tingkahlaku kita semasa exam bermula. Tapi berbeza dengan exam kehidupan sebenar, setiap orang akan ada dua pengawas yang sentiasa meninjau dan mencatit setiap perkara yang kita lakukan sepanjang tempoh exam kehidupan kita. Dan yang paling penting, kalau exam masa study, gagal masa study boleh repeat, tapi exam kehidupan sebenar, kalau kita gagal, tidak ada jalan lagi, no excuse! untuk kita kembali ke dunia lagi.
           Apa yang  ditunggu lagi? Jangan buang masa dengan perkara yang sia-sia!! Jangan sampai kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi. Persiapkan diri kita dalam menghadapi setiap exam yang bakal kita tempuhi terutamanya exam kehidupan sebenar untuk kita kembali kepada Allah kerana kita tidak tahu bila masa exam kehidupan ini akan diberhentikan, mungkin tahun depan, atau bulan depan atau mungkin esok atau mungkin sebentar lagi.. Allahu'alam... semoga rahmat Allah sentiasa menaungi kita agar result exam kita nanti mendapat ganjaran syurga Allah.. -Aku Musafir Iman.

Tuesday, May 17, 2011

Jagalah Hati

 Salam'alaik... moga hati saudara-saudari dalam keadaan yang sihat...  seusai solat subuh, hati tergerak untuk mendengar beberapa motivasi pagi.. satu pengisian hati melalui nasyid yang disampaikan oleh penceramah yang popular di kalangan rakyat indonesia Ust Aa Gym.


JAGALAH HATI


Jagalah hati jangan kau kotori,
Jagalah hati lentera hidup ini,
Jagalah hati jangan kau nodai,
Jagalah hati cahaya Ilahi.


Bila hati kian bersih,
Berzikir pun selalu jernih,
Semangat hidup kan gigih,
Prestasi mudah diraih.


Tapi bila hati busuk,
Fikiran jahat merasuk,
Akhlak kian terpuruk,
Jadi makhluk terkutuk.


Bila hati kian suci,
Tak ada yang tersakiti,
Peribadi menawan hati,
ciri mukmin yang sejati.


Tapi bila hati keruh,
Batin pun selalu gemuruh,
Terasa di buruh musuh,
Dengan Allah kian jauh.


Bila hati kian lapang,
Hidup susah tetap senang,
Walau sulit menghadang,
Dihadapi dengan tenang.


Tapi bila hati sempit,
Segalanya jadi rumit,
Seakan hidup terhimpit,
Zahir batin terasa sakit.


Bila hati kian benci,
Tutur kata penuh caci,
Perilaku tak terpuji,
Bisa jadi makhluk keji.


Namun bila penuh sayang,
Hati pun akan disayang,
Hidup pun terasa lapang,
Hidup bersama kan senang.


Bila hati bertawadhu'
Hidup indah semanis madu,
Akhlak menawan kalbu,
Berpisah pun selalu dirindu.


Tapi bila hati terkabur,
Batin pun selalu berdebur,
Merasa sehebat guntur,
Akhirnya masuk kubur.


Bila hati penuh dendam,
Bagai api dalam sekam,
penuh bara kehancuran,
Hidup jadi mencengkam.


Tapi bila memaafkan,
Batin tenteram menyejukkan,
Asal lawan jadi kawan,
Hidup damai kita rasakan.


Bila hati ini dengki,
Tak rela orang dapat rezki,
Tak pernah mahu memuji,
Hanya bisa mencaci maki.


Namurn hati yang bersyukur,
Kebaikan tak pernah kendur,
Apalagi bila kita akur,
Negeri ini akan segera makmur.

Taubat Cinta..

       Alhamdhulillah... dalam kesibukan menyiapkan tugasan-tugasan harian, Allah masih beri ruang dan kesempatan untuk saya terus menggerakkan jari jemari ini di atas keyboard... erm maklum exam dah dekat, so segala tenaga perlu dikerah sehabis mungkin.. Teringat peristiwa kelmarin semasa berada dalam bilik kuliah, kelas jadi riuh, disebabkan lecture tidak dapat datang.... yang siswi dengan cerita siswinya.. yang siswa dengan cerita siswanya... saya?? duduk sorang-sorang... time tu tak seberapa sihat, saya jadi pemerhati kerenah kawan-kawan dalam kelas.. Dua cuping telinga ini sempat menangkap beberapa topik yang dibahaskan oleh rakan-rakan.. yang siswa tak habis-habis dengan cerita bolanya... tapi yang siswi pelik sikit (pelik bagi saya) sembang pasal cinta dan kawen... Sempat juga saya mencela time tu.. "aik... diploma tak habis lagi dah sembang pasal kawen" ermm tak habis-habis dengan cerita cinta mereka... maklumlah fitrah manusia yang ingin dicintai dan mencintai..
      Cinta lagi... sebelum ni pun ada entri mengenai cinta.. Tapi kali ni nak kongsi sikit mengenai tajuk kat atas tu.. Ya Taubat Cinta... Taubat dan Cinta, dua maksud yang berbeza. tapi ada kesinambungan antara keduanya. Kerana Taubat merupakan sumber kecintaan kita kepada Allah SWT. Kenapa ia dikatakan sumber? sebab, setiap kali atau kerap kali kita  bertaubat kepada Allah, maka semakin dekat dan semakin cinta kita kepadaNYA.. Nah! selalulah bertaubat agar cinta kita dibalas dengan pemilik segala cinta..
        Usman bin Affan mengatakan " Aku merasa hairan dengan orang yang yakin dengan datangnya kematian, tetapi dia masih bisa tertawa. Aku merasa hairan terhadap orang yang mengetahui bahawa dunia ini akan hancur, tetapi dia tetap mencintainya. Aku hairan terhadap orang yang mengetahui bahawa segala sesuatu itu telah ditentukan Allah tetapi ia merasa sedih terhadap apa yang luput darinya. Aku hairan terhadap orang yang mengetahui adanya hisab, namun ia tetap mengumpul-ngumpulkan harta. Aku hairan dengan orang yang meyakini adanya neraka, tetapi ia tetap berbuat dosa. Aku hairan terhadap orang yang meyakini adanya syurga, namun ia masih tetap bersenang-senang dengan kesenangan dunia ini.
          Kita kata kita cinta kepada Allah, kita kata kita takut dengan azab Allah.... Tapi.....perbuatan yang kita sering lakukan jauh dari menggapai cinta Allah SWT. Cinta itu bukan ingin diberi, akan tetapi cinta itulah yang memberi. Bila kita dekat dengan Allah, Allah pasti lebih dekat dengan kita. Tapi kita sendiri tidak yakin keberadaan Allah disamping kita.. mengapa?? mengapa kita tidak merasainya? sebab kita tidak beri cinta kita secara total kepada Allah.. Siapa yang tidak suka  bertemu dengan Allah, Maka Allah pun tidak akan pernah suka untuk bertemu dengannya. Oleh itu, salah satu bentuk pendekatan kita agar kita meraih cinta Allah adalah dengan bertaubat. Ulama mengisyaratkan, ada tiga syarat kita bertaubat kepada Allah:

       1) Hendaklah kita berhenti dari melakukan maksiat..
       2) Menyesal atas perbuatan yang telah kita lakukan..
       3) Berazam dalam diri bahawa kita tidak akan mengulagi dosa-         dosa kita.

        Allah masih memberikan kesempatan usia dan waktu, kesihatan dan kelapangan, maka gunakanlah peluang ini untuk bertaubat dan beramal sholeh.. Firman Allah yang bermaksud: "dan barang siapa yang bertaubat dan beramal sholeh, maka sesungguhnya ia telah bertaubat kepada Allah dengan sebenarnya". Ya Allah, hamba Mu yang lemah ini, kembali mengetuk pintu rahmatMu ya Allah. Hamba Mu yang berlumuran dosa dan maksiat ini kembali bersimpuh memohon ampun kepada Mu. Hamba Mu ini ingin kembali ke jalan kesholehan..jalan yang Engkau pimpin ya Allah.. Ya Allah, pandanglah hamba Mu ini dengan pandangan rahmat Mu, jangan pula Engkau pandang hamba Mu ini dengan pandangan murka Mu kerana dosa yang bertimbun... sesungguhnya hamba Mu ini benar-benar ingin kembali kepada Mu dalam keadaan taubat kerana cinta kepada Mu ya Allah.... -Aku Musafir Iman.