Powered by Blogger.
RSS

Islamic Widget

Tuesday, July 12, 2011

Nikmatnya Tarbiyah Islamiah

           Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

        Alhamdhulillah, syukur kehadrat Allah SWT yang masih memberi ruang dan peluang untuk kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNYA. Tidak ada perkara yang paling manis di dunia ini melainkan dapat tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Kerana di akhirat kelak, yang membezakan kita adalah tingkat ketaqwaan kita.
         Malangnya hari ini, jika dilihat  ramai yang merasa agung dan berasa megah dengan kekayaan dan kemewaan yang mereka miliki. Seolah-olah kekayaan itu adalah segala-galanya. Menganggap tidak sempurna kehidupan jika tidak memiliki kekayaan yang melimpah. Sanggup menjadikan yang batil menjadi hak di pandangan orang. Sanggup melakukan apa saja demi mencapai keinginan dan kehendak mereka dengan jalan apa sekali pun. Inilah yang terjadi dengan umat akhir zaman. Benarlah apa yang disebut oleh Rasulullah SAW bahawa umat akhir zaman nanti akan ditimpa penyakit wahn yakni cintakan dunia dan takutkan mati. Perkara ini tidak mustahil akan menjadi satu kebiasaan sekiranya nikmat tarbiyah islamiah tidak terpatri dalam hati setiap individu muslim.
          Lupakah kita dengan sirah Rasulullah? bagaimana baginda membawa masyarakat Jahiliah menjadi  masyarakat yang unggul di mata dunia? Kalau difikir semua ini adalah mustahil untuk mengubah sesuatu bangsa yang jahil menjadi bangsa yang beriman. Dahulu mereka sangat jahil dan bodoh, mereka menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan perbuatan keji, menzalimi mereka yang lemah dan banyak lagi. Tapi, semua ini telah berubah setelah Rasulullah SAW menanam tarbiyah islamiah ke dalam jiwa dan hati mereka. Jadi semua ini tidak mustahil jika kita yakin dan sedar bahawa tarbiyah islamiah itu perlu diterapkan ke dalam diri setiap individu muslim agar cahaya keimanan dapat menembusi kegelapan kejahilan dalam hati.
        Tarbiyah Islamiah yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk memperbaiki manusia dan merupakan cara ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia secara langsung dalam bentuk keteladanan untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan  yang lebih baik yang akan melahirkan keperibadian yang utuh, tidak terpecah dan bercabang. Peribadi yang mantap yang tercermin dalam keteguhan akidah, keluhuran akhlaknya, kebersihan hatinya, kebaikan tingkah lakunya. Oleh itu, Tarbiyah Islamiah secara umum difahami sebagai pendidikan Islam, yang bertujuan memberikan gambaran Islam dengan benar dan menyeluruh, yang meliputi seluruh aspek kehidupan, bukan hanya sebagai ibadah ritual saja, sehingga yang mendapat tarbiyah, dapat memahami wajah Islam yang sebenarnya dan menjadikan Islam sebagai pedoman hidup . 
          Tarbiyah merupakan salah satu dari kewajiban seorang Muslim, sebagaimana firman Allah SWT, "Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang beriman itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjaga dirinya." (QS. 9: 122)  Tarbiyah merupakan proses pembelajaran yang terus menerus, dalam hal ini adalah pendidikan yang berkesinambungan dan pendidikan seumur hidup. Dengan pendidikan yang seumur hidup inilah maka tarbiyah harus diiringi dengan kekuatan untuk mempertahankannya, sehingga tidak menjadi surut di akhirnya. 
            Alhamdhulillah, Allah mempertemukan saya dengan sebuah institusi yang senantiasa mengambil tahu dan menguruskan tarbiyah Islamiah. Kerana mereka tahu akan kepentingan tarbiyah ini, kerana mereka faham dan sedar bahawa ciri-ciri pelajar atau muslim yang berjaya perlu adanya penerapan tarbiyah Islamiah agar bila mana mereka keluar dan berhadapan dengan masyarakat, mereka tidak akan goyah atau terbawa-bawa oleh gelombang kejahilan masyarakat. Tapi perlu diingat, tarbiyah itu perlu dibangun dari semasa ke semasa agar diri kita semakin kuat untuk terus berjuang menegakkan agama Islam. Kerana hanya Islam sahaja adalah sebaik-baik cara hidup dan pegangan yang membawa kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. - Aku Musafir Iman.

No comments:

Post a Comment