Powered by Blogger.
RSS

Islamic Widget

Saturday, February 16, 2013

DAPAT BERPAUT PUN JADILAH




          Alhamdhulillah segala puji bagi Allah yang melimpahkan segala rahmat dan kasih sayang buat hamba-hambaNya yang senantiasa mematuhi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya. Beruntunglah bagi mereka yang menyedari hakikat kehidupan sebagai seorang hamba dan juga khalifah.
                Dalam perjalanan sebuah kehidupan, kita menyedari bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara, namun yang sementara inilah ramai manusia tergelongsor dari landasan keimanan. Banyak persoalan yang bermain difikiran. Kenapa hal ini boleh berlaku? Adakah para daie sudah tidak wujud? Atau adakah disebabkan sistem pemerintahan yang membelakangkan hukum Allah? Dan macam-macam lagi persoalan demi persoalan timbul. Wahai saudaraku, lupakah kita pesan Rasulullah SAW “ telah aku tinggalkan dua perkara kepada kamu yang bilamana kamu mengikutinya, kamu tidak akan sesat, iaitu al Quran dan sunnahku” Tapi hari ini kita lihat, sejauh mana masyarakat islam memandang serius dengan pesan yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW. Bagaimana kita melihat khazanah yang sangat bernilai ini dinyalahkan di dalam setiap hati dan diaplikasikan dalam kehidupan yang sebenar.
                Kita mengatakan Rasulullah adalah “MY HERO”, Rasulullah adalah idola kami, Rasulullah adalah sebaik-baik contoh teladan kami. Tapi malang sungguh ucapan-ucapan itu hanya perhiasan di bibir sahaja. Bukan pada anggota badan seluruhnya. Cuba kita bayangkan, kita berhajat untuk ke suatu tempat yang jauh, dan pada masa itu hanya ada sebuah keretapi yang menghala ke tempat yang kita hajati, dan kita dapati setiap gerabak telah penuh. Agak-agaknya apa yang perlu kita lakukan? Adakah kita hanya mampu melihat saja dan membiarkan keretapi itu bergerak meninggalkan kita? Dan cuba banyangkan pula, kalau yang mengendalikan keretapi itu adalah Rasulullah yang akan membawa kita ke tempat yang selamat dunia dan akhirat. Adakah kita akan terus membiarkan diri kita tanpa melakukan apa-apa? Wahai saudaraku, kalaulah hal demikian berlaku, dan kita tidak dapat memasuki setiap gerabak yang ada disebabkan tidak ada kekosongan. Sekurang-kurangnya bialah kita berpaut pada gerabak itu agar tidak sesat dalam perjalanan kehidupan.
                Kita mengetahui Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW adalah panduan dan peta kehidupan. Kita juga meyakini bahawa Al Quran dan sunnah adalah pilihan yang tepat untuk digunapakai dalam kehidupan. Namun hati kita jauh menyimpang dari mengikutinya secara TOTAL. Sebab itulah, tidak hairan kalau hari ini masyarakat islam begitu mudah dihina dan dicaci oleh orang-orang kafir. Mereka sedikitpun tidak gentar dengan bilangan umat islam yang begitu ramai hari ini. Kerana rasa gerun kepada umat islam telah dicabut dari hati mereka, manakala penyakit cintakan dunia dan takutkan mati dicampakkan kedalam jiwa masyarakat yang mengaku muslim. Semua ini berlaku kerana ikatan panduan kehidupan yang telah digariskan oleh Allah SWT begitu longgar dalam setiap jiwa orang-orang muslim. Oleh itu, kualiti umat islam semakin merosot dan akhirnya kehilangan taring dan kehebatan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
                Justeru itu berpautlah pada gerabak yang dibina oleh Rasulullah dengan berpegang kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW agar kita mampu bangkit semula dalam fasa-fasa keruntuhan ini dan mendaulatklan syariat Islam. Jalan dan laluan ini tidak mudah, perlu perjuangan dan pengorbanan yang tinggi, kerana kedua-dua asas ini adalah prasyarat yang wajib ada bagi mereka yang cinta akan kebaikan dan kesyumulan islam. Namun bagi mereka yang memilih landasan lain yang hanya ingin berehat dan bersenang lenang tanpa ada usaha untuk menyelamatkan diri mereka dari azab Allah pasti akan tersesat dan menderita. Mereka inilah yang dikatakan oleh Imam Syafie dalam syairnya : singa yang tidak meninggalkan tempat rehatnya di rimba, tidak akan menemui makannya. Anak panah yang tidak meninggalkan busurnya, tidak akan menepati sasarannya.
                Yakinlah wahai saudaraku, islam pasti akan bersinar di atas muka bumi ini walaupun cuba dihalangi oleh musuh-musuhnya. Allah berfirman dalam surah as Saff ayat 8 yang bermaksud: “ mereka hendak memadam cahaya agama Allah dengan mulut mereka. Allah tetap menyempurnakan cahaya agamaNya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir” dan Allah pasti menolong mereka yang ingin menolong agama Allah. _ Aku Musafir Iman.

Saturday, January 26, 2013

NAK MUDA 2 KALI

Assalamualiakum warahmatullahi wabarakatuh... Alhamdhulillah, segala puji hanya milik Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Rasulullah SAW, keluarga baginda, para sahabat dan semua muslimin dan muslimat. Selayaknya kita sebagai hamba tidak putus-putus mengucapkan kalimah syukur dan memuji-muji Tuhan yang menciptakan kita.

Alhamdhulillah di ruangan ini saya ingin berceloteh sedikit berkenaan amal ibadah kita sesuai dengan tujuan kita diciptakan " Dan Aku(Allah) tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk berubudiah kepadaKu" . Cantiknya Islam ini kerana seluruh penghidupannya dikira sebagai ibadah selagi mana apa yang dilakukan baik perbuatan mahupun perkataan semuanya adalah kerana Allah dan tidak melanggar syariat Islam.



Hakikat hari ini walaupun ramai yang sedar dan tahu bahawa mati itu pasti dan bila-bila masa saja boleh berlaku tanpa kita tahu bila dan di mana, namun masih ramai juga yang mengharapkan ingin bertemu dengan usia tua. Kenapa? kerana mereka mengharapkan ibadah yang banyak pada usia tua. memikirkan bahawa usia tua adalah usia yang terbaik untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Malang sungguh orang yang berfikiran seperti ini. Bak kata orang Indonesia " KESIAN DELO' ".

Jika dilihat statistik jumlah manusia yang hidup pada satu-satu masa di dunia, kita akan dapati jumlah orang tua sangat sedikit berbanding orang muda. Ini kerana ramai manusia yang tak sempat tua dan waktu usia muda telah dipanggil pulang. Jadi..... jika menunggu hari tua baru nak beribadah, bertaubat dan berbuat kebaikan, kemungkinan besar ramai yang tidak akan sempat kerana lebih dahulu dipintas oleh kematian.. Sanggupkah anda tanggung risiko??

Wahai adik-adik dan remaja sekalian!! waktu muda inilah saat yang paling baik untuk mendekati Allah SWT. Waktu muda ini jugalah kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh sempurna dan bertenaga kerana waktu ini fizikal, fikiran, emosi dan jiwa masih bersemangat dan kuat. So.. kenapa masih lagi ingin menunggu usia tua baru nak beramal?? Adakah kerana kamu memikirkan usia muda hanya sekali? dan perlu manfaatkannya dengan perkara-perkara yang menyeronokkan? ish... ish.. ish.. jauhnya fikiran kalian tersasar..Dengar ni..!!! pasang telinga dan pasang mata serta hati, USIA MUDA ADA DUA KALI!!! muda di dunia dan muda di akhirat.. tak percaya?? Sabda Rasulullah SAW " Ahli syurga memasuki syurga itu dalam keadaan kulit licin, tidak bermisai dan berjanggut, bercelak serta sebaya umur dalam lingkungan 30 atau 33 tahun" [HR al-Tirmizi]. Saya simpulkan bagi mereka yang mengatakan masa muda hanya sekali atau masa muda ini perlu "ENJOY" mereka ini tidak mahu jadi ahli syurga.

Sekali lagi nak menyeru kepada mereka-mereka yang merasa diri masih muda. Masa muda inilah yang dikatakan "prime time" yang sangat sesuai untuk beribadah kepada Allah Azza wa jalla. Masa muda yang sangat tinggi nilainya ini sewajarnya difokuskan kepada Allah dengan berbakti kepadaNya. Seorang hamba yang memburu kecintaan Allah akan memberikan usia mudanya bukan usia tuanya. Masa muda ini jugalah yang sering ditekankan oleh Rasulullah kerana salah seorang VIP yang mendapat naungan Arasy ialah pemuda yang takut akan Allah. dan umur masa muda ini juga yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Saya nak tinggalkan kepada pembaca satu pesan dari Ibn Umar " Jika kamu berada pada waktu petang, jangan menunggu waktu pagi. Jika kamu berada pada waktu pagi, jangan menunggu waktu petang." fikir-fikirkanlah. - kembali kepada fitrah kehambaan.