Powered by Blogger.
RSS

Islamic Widget

Saturday, February 16, 2013

DAPAT BERPAUT PUN JADILAH




          Alhamdhulillah segala puji bagi Allah yang melimpahkan segala rahmat dan kasih sayang buat hamba-hambaNya yang senantiasa mematuhi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya. Beruntunglah bagi mereka yang menyedari hakikat kehidupan sebagai seorang hamba dan juga khalifah.
                Dalam perjalanan sebuah kehidupan, kita menyedari bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara, namun yang sementara inilah ramai manusia tergelongsor dari landasan keimanan. Banyak persoalan yang bermain difikiran. Kenapa hal ini boleh berlaku? Adakah para daie sudah tidak wujud? Atau adakah disebabkan sistem pemerintahan yang membelakangkan hukum Allah? Dan macam-macam lagi persoalan demi persoalan timbul. Wahai saudaraku, lupakah kita pesan Rasulullah SAW “ telah aku tinggalkan dua perkara kepada kamu yang bilamana kamu mengikutinya, kamu tidak akan sesat, iaitu al Quran dan sunnahku” Tapi hari ini kita lihat, sejauh mana masyarakat islam memandang serius dengan pesan yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW. Bagaimana kita melihat khazanah yang sangat bernilai ini dinyalahkan di dalam setiap hati dan diaplikasikan dalam kehidupan yang sebenar.
                Kita mengatakan Rasulullah adalah “MY HERO”, Rasulullah adalah idola kami, Rasulullah adalah sebaik-baik contoh teladan kami. Tapi malang sungguh ucapan-ucapan itu hanya perhiasan di bibir sahaja. Bukan pada anggota badan seluruhnya. Cuba kita bayangkan, kita berhajat untuk ke suatu tempat yang jauh, dan pada masa itu hanya ada sebuah keretapi yang menghala ke tempat yang kita hajati, dan kita dapati setiap gerabak telah penuh. Agak-agaknya apa yang perlu kita lakukan? Adakah kita hanya mampu melihat saja dan membiarkan keretapi itu bergerak meninggalkan kita? Dan cuba banyangkan pula, kalau yang mengendalikan keretapi itu adalah Rasulullah yang akan membawa kita ke tempat yang selamat dunia dan akhirat. Adakah kita akan terus membiarkan diri kita tanpa melakukan apa-apa? Wahai saudaraku, kalaulah hal demikian berlaku, dan kita tidak dapat memasuki setiap gerabak yang ada disebabkan tidak ada kekosongan. Sekurang-kurangnya bialah kita berpaut pada gerabak itu agar tidak sesat dalam perjalanan kehidupan.
                Kita mengetahui Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW adalah panduan dan peta kehidupan. Kita juga meyakini bahawa Al Quran dan sunnah adalah pilihan yang tepat untuk digunapakai dalam kehidupan. Namun hati kita jauh menyimpang dari mengikutinya secara TOTAL. Sebab itulah, tidak hairan kalau hari ini masyarakat islam begitu mudah dihina dan dicaci oleh orang-orang kafir. Mereka sedikitpun tidak gentar dengan bilangan umat islam yang begitu ramai hari ini. Kerana rasa gerun kepada umat islam telah dicabut dari hati mereka, manakala penyakit cintakan dunia dan takutkan mati dicampakkan kedalam jiwa masyarakat yang mengaku muslim. Semua ini berlaku kerana ikatan panduan kehidupan yang telah digariskan oleh Allah SWT begitu longgar dalam setiap jiwa orang-orang muslim. Oleh itu, kualiti umat islam semakin merosot dan akhirnya kehilangan taring dan kehebatan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
                Justeru itu berpautlah pada gerabak yang dibina oleh Rasulullah dengan berpegang kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW agar kita mampu bangkit semula dalam fasa-fasa keruntuhan ini dan mendaulatklan syariat Islam. Jalan dan laluan ini tidak mudah, perlu perjuangan dan pengorbanan yang tinggi, kerana kedua-dua asas ini adalah prasyarat yang wajib ada bagi mereka yang cinta akan kebaikan dan kesyumulan islam. Namun bagi mereka yang memilih landasan lain yang hanya ingin berehat dan bersenang lenang tanpa ada usaha untuk menyelamatkan diri mereka dari azab Allah pasti akan tersesat dan menderita. Mereka inilah yang dikatakan oleh Imam Syafie dalam syairnya : singa yang tidak meninggalkan tempat rehatnya di rimba, tidak akan menemui makannya. Anak panah yang tidak meninggalkan busurnya, tidak akan menepati sasarannya.
                Yakinlah wahai saudaraku, islam pasti akan bersinar di atas muka bumi ini walaupun cuba dihalangi oleh musuh-musuhnya. Allah berfirman dalam surah as Saff ayat 8 yang bermaksud: “ mereka hendak memadam cahaya agama Allah dengan mulut mereka. Allah tetap menyempurnakan cahaya agamaNya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir” dan Allah pasti menolong mereka yang ingin menolong agama Allah. _ Aku Musafir Iman.

Saturday, January 26, 2013

NAK MUDA 2 KALI

Assalamualiakum warahmatullahi wabarakatuh... Alhamdhulillah, segala puji hanya milik Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Rasulullah SAW, keluarga baginda, para sahabat dan semua muslimin dan muslimat. Selayaknya kita sebagai hamba tidak putus-putus mengucapkan kalimah syukur dan memuji-muji Tuhan yang menciptakan kita.

Alhamdhulillah di ruangan ini saya ingin berceloteh sedikit berkenaan amal ibadah kita sesuai dengan tujuan kita diciptakan " Dan Aku(Allah) tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk berubudiah kepadaKu" . Cantiknya Islam ini kerana seluruh penghidupannya dikira sebagai ibadah selagi mana apa yang dilakukan baik perbuatan mahupun perkataan semuanya adalah kerana Allah dan tidak melanggar syariat Islam.



Hakikat hari ini walaupun ramai yang sedar dan tahu bahawa mati itu pasti dan bila-bila masa saja boleh berlaku tanpa kita tahu bila dan di mana, namun masih ramai juga yang mengharapkan ingin bertemu dengan usia tua. Kenapa? kerana mereka mengharapkan ibadah yang banyak pada usia tua. memikirkan bahawa usia tua adalah usia yang terbaik untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Malang sungguh orang yang berfikiran seperti ini. Bak kata orang Indonesia " KESIAN DELO' ".

Jika dilihat statistik jumlah manusia yang hidup pada satu-satu masa di dunia, kita akan dapati jumlah orang tua sangat sedikit berbanding orang muda. Ini kerana ramai manusia yang tak sempat tua dan waktu usia muda telah dipanggil pulang. Jadi..... jika menunggu hari tua baru nak beribadah, bertaubat dan berbuat kebaikan, kemungkinan besar ramai yang tidak akan sempat kerana lebih dahulu dipintas oleh kematian.. Sanggupkah anda tanggung risiko??

Wahai adik-adik dan remaja sekalian!! waktu muda inilah saat yang paling baik untuk mendekati Allah SWT. Waktu muda ini jugalah kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh sempurna dan bertenaga kerana waktu ini fizikal, fikiran, emosi dan jiwa masih bersemangat dan kuat. So.. kenapa masih lagi ingin menunggu usia tua baru nak beramal?? Adakah kerana kamu memikirkan usia muda hanya sekali? dan perlu manfaatkannya dengan perkara-perkara yang menyeronokkan? ish... ish.. ish.. jauhnya fikiran kalian tersasar..Dengar ni..!!! pasang telinga dan pasang mata serta hati, USIA MUDA ADA DUA KALI!!! muda di dunia dan muda di akhirat.. tak percaya?? Sabda Rasulullah SAW " Ahli syurga memasuki syurga itu dalam keadaan kulit licin, tidak bermisai dan berjanggut, bercelak serta sebaya umur dalam lingkungan 30 atau 33 tahun" [HR al-Tirmizi]. Saya simpulkan bagi mereka yang mengatakan masa muda hanya sekali atau masa muda ini perlu "ENJOY" mereka ini tidak mahu jadi ahli syurga.

Sekali lagi nak menyeru kepada mereka-mereka yang merasa diri masih muda. Masa muda inilah yang dikatakan "prime time" yang sangat sesuai untuk beribadah kepada Allah Azza wa jalla. Masa muda yang sangat tinggi nilainya ini sewajarnya difokuskan kepada Allah dengan berbakti kepadaNya. Seorang hamba yang memburu kecintaan Allah akan memberikan usia mudanya bukan usia tuanya. Masa muda ini jugalah yang sering ditekankan oleh Rasulullah kerana salah seorang VIP yang mendapat naungan Arasy ialah pemuda yang takut akan Allah. dan umur masa muda ini juga yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Saya nak tinggalkan kepada pembaca satu pesan dari Ibn Umar " Jika kamu berada pada waktu petang, jangan menunggu waktu pagi. Jika kamu berada pada waktu pagi, jangan menunggu waktu petang." fikir-fikirkanlah. - kembali kepada fitrah kehambaan.

Wednesday, July 18, 2012




MENJADI HAMBA RABBANI DI BULAN RAMADHAN





Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

      Alhamdhulillah, Allah masih memberi peluang dan izin kepada diri dan hati kita untuk berada di bulan Syaban.... dan hanya tinggal beberapa hari lagi Ramadhan datang berkunjung. Moga Allah memilih hati2 kita untuk sama2 menjadi tetamuNya dibulan suci Ramadhan 1433H.

      Persoalannya sekarang adakah kita telah menyiapkan diri kita untuk melalui bulan yang mulia ini? 
      Atau..... menjadikan Ramadhan kali ini sama seperti tahun2 yang lalu?

Ayuh!!! sahabat!!
     Sudah tiba masanya kita merebut peluang ini untuk sama2 recharge IMAN kita.. 
     Kita tentu merindukan bulan ramadhan sebagaimana rindunya Rasulullah SAW dengan bulan ini. Kita tentu bahagia dengan hadirnya bulan ramadhan sebagaimana Rasulullah SAW bahagia menyambut bulan ini. Oleh sebab itulah, Rasulullah mengajar doa kepada kita dari bulan Rejab lagi.. " Ya Allah berkahilah hidup kami di bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah usia kami hingga bulan Ramadhan".

      Lepaskan segala angan-anganmu sahabat.. kerana angan-angan itu belum tentu dapat RECHARGE IMAN kita malah mungkin membawa kepada kebinasaan pada diri dan hati kita. Oleh sebab itu, beberapa persiapan yang perlu kita FOKUS sebelum Allah izin kita melangkah memasuki bulan yang penuh berkah ini.

       Persiapan yang pertama adalah melalui persiapan RUHIYAH... mempersiapkan diri kita dengan cara tazkiyatun nafs. membersihkan jiwa kita dari penyakit aqidah agar kita bertemu bulan ramadhan dalam keadaan hati yang siap dan ikhlas. Seterusnya adalah melalui persiapan FIKRIYAH.... membekalkan diri dengan ilmu agama yang berkait langsung dengan amalan-amalan dibulan ramadhan. Kerana dengan ilmu yang jelas pasti akan melahirkan amalan2 yang sempurna di sisi Allah. Persiapan JASADIYAH juga penting dengan mengamalkan dan menjaga kesihatan tubuh badan.. sebab itulah Rasulullah SAW mengajar kita berpuasa di bulan Rejab dan Sya'ban sebagai latihan kepada diri kita agar lebih kuat dan bersemangat untuk berpuasa di bulan Ramadhan. Dan persiapan yang terakhir adalah persiapan dari sudut MALIYAH.... iaitu dengan menyiapkan diri menabung dan menyisihkan sejumlah dana untuk memperbanyakkan infaq dan memberi iftar kepada orang lain serta membantu mereka yang memerlukan. Inilah yang diajar kepada kita saat tibanya bulan Ramadhan Al-Mubarak.

      Nah... apa lagi yang kita tunggu?? bermujahadalah agar saat Ramadhan tiba kita menjadi HAMBA RABBANI bukan HAMBA RAMADHANI.. menjadi hamba yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah, taat dan patuh kepada perintahNYA dan menjauhi segala laranganNYA. Menjadi hamba yang istiqamah amalannya bukan hanya pada bulan Ramadhan bahkan setiap detik dan waktu. Namun ingin menjadi hamba Rabbani bukanlah semudah menterbalikkan telapak tangan, perlu masa, tenaga dan usaha yang berterusan dan yang paling penting perlu adanya ilmu pengetahuan agar ibadah kita tidak terkeluar dari batasan syarak..

     ".......jadilah kamu hamba Rabbani kerana kamu mengajarkan kitab, dan kamu mempelajarinya." [Ali Imran :79]

    "..Andai saja umatku tahu apa yang ada dalam bulan Ramadhan, pasti ia mengharapkan agar setahun adalah Ramadhan"....

      "Ya ALLAH, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan, sesudah engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari Mu, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi".... - Aku Musafir Iman



Wednesday, June 20, 2012

MENGGAPAI KETENANGAN JIWA

       Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...


        Alhamdhulillah, hingga ke saat ini Allah SWT masih meminjamkan nikmat sebuah kehidupan kepada diri ini. bagi mereka yang masih merasakan hidup dalam pengabdian kepada Allah SWT selayaknya mensyukuri setiap saat dan ketika dengan segala nikmat yang telah dipinjamkan kepada kita. Rasanya dah setengah tahun tuan empunya blog ini tidak menulis sesuatu di ruangan ini. Kalau blog ini diibaratkan sebuah mesin pasti karat-karat dan debu-debu mula menempel disekitar mesin itu.. (^__^).

       Diri ini tak bermaksud menghentikan coretan dalam ruangan ini, tapi dalam tempoh enam bulan saya cuba mencari satu kekuatan diri dan semangat  kehidupan yang baru. Walaupun tempoh itu agak lama, namun berbaloi bagi diri saya kerana menemukan sebuah mutiara kehidupan yang jarang orang lain dapat menikmatinya.. Benar apa yang sahabat saya selalu nasihatkan kepada saya.. "medan berkata-kata tidak akan sama dengan medan amal".. Alhamdhulillah, dalam tempoh 6 bulan saya melalui satu tahap kesukaran menghadapai sebuah kehidupan bilamana berhadapan dengan bermacam-macam kerenah masyarakat yang dikelilingi oleh kehidupan jahiliah. Barulah saya memahami dan menyedari bertapa sukarnya Rasulullah dan para sahabat dalam membawa panji-panji islam di tengah masyarakat yang penuh dengan kepekatan jahiliah..


         
       Sahabat, dalam kita melalui sebuah perjalanan yang penuh dengan cabaran dan juga ranjau, pasti kita terfikir dan mahu menyempurnakan segala tuntutan Ilahi.. Namun persoalannya bagaimana kita nak memenuhi tuntutan ini??
         Dalam Al Quran surah al-Fajr ayat 27&28, Allah berbicara kepada kita yang bermaksud " Hai jiwa yang tenang!. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNYA." .. Sahabat yang saya sayangi..Allah menyeru dengan memanggil hambaNYA dengan panggilan jiwa yang tenang.. Namun apa yang kita faham tentang makna jiwa yang tenang ini??  Sebenarnya, dalam kehidupan manusia, sesiapa sahaja samada sihat atau sakit, miskin atau kaya, tua atau muda, semuanya mengharapkan satu kehidupan tenang yang lahir dari jiwa yang tenang. Hakikat ini sukar difahami bagi mereka yang masih tercari-cari. Kerana jiwa yang tenang itu lahir daripada keimanan dan keyakinan kepada Pencipta. Cuba lihat mereka yang mempunyai segalanya, harta dan wang berjuta, premis perniagaan yang tersergam, cawangan dimerata-rata. Cuba kita tanyakan, adakah mereka bahagia? Adakah kehidupan mereka tenang? mampukah mereka tidur lena pada malam hari? mampukah mereka bangun pada waktu malam dan berbicara dengan Tuhan yang Maha Pencipta sambil mengungkap zikir ingatan kepadaNYA?
       Kita kena ingat wahai sahabatku.... apabila ketenangan dicabut dari dalam jiwa, pasti yang lahir sebuah gelombang emosi dan jiwa yang tidak tentu arah, lantas kegersangan hati dan fikiran daripada nur Ilahi serta petunjuk dan hidayahNYA. Natijahnya adalah kegelapan hati dan ketandusan iman yang pasti melahirkan manusia-manusia yang rakus dengan kemewahan dunia semata. Ketenangan jiwa ini boleh diumpamakan sebuah permata yang indah dalam hati. Seorang yang hatinya tenang, cekal dan kuat adalah individu yang diuji denagn pelbagai ujian yang menekan jiwanya sehingga hatinya berkilau umpama permata yang bergemerlapan. Ia pasti akan membahagiakan pemiliknya dan masyarakat sekitarnya juga dapat merasainya dan kagum kepadanya.
            Sahabat.. adakah kita lupa dengan seorang sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai hati dan jiwa yang tenang? mampu mengawal emosinya dalam apa jua keadaan.. Ya.. dia Abu Bakar as-Siddiq, insan yang memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Ketenangan dan ketulusan hatinya terbukti sepanjang sejarah hidupnya bersama Rasulullah. Beliau masih mampu bertenang saat kewafatan baginda Rasulullah.. Tenang ketika sahabat lain tidak dapat menerima kepergian kekasih Allah.. Tenang.. saat Saidina Ali diam terpaku,, beliau masih tenang saat Saidina Umar hilang pertimbangan kerana tidak dapat menerima hakikat kewafatan baginda nabi.. Malah beliau mampu dan berupaya menenangkan orang lain supaya menerima hakikat yang Rasulullah telah pergi menemui Allah SWT.

              Hari ini ramai manusia kehilangan permata dalam diri mereka. Manusia akhir zaman ini sudah kehilangan apa yang dinamakan "ketenagan jiwa" "Hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". Apa lagi yang kita ragukan sahabat?? tidak ada jalan ketenangan melainkan kembali kepada fitrah kehambaan. kembali memperbanyakkan amal ibadah yang membuatkan kita semakin ingat kepada Allah.. Kembali menjaga hubungan dengan Pencipta.. Kembalilah sahabat..... moga cahaya ketenangan dapat berpaut disegenap ruang hati dan jiwa agar keimanan kita kepada Allah SWT tidak akan lusuh ditelan usia.. - Aku Musafir Iman..













Monday, December 5, 2011

Ketika cinta beristighfar

    Hari ini dan semalam adalah dua perkara yang sangat jauh berbeza dan adalah mustahil untuk disamakan.. Begitu juga dengan kehidupan seorang insan yang bergelar manusia, pasti merasakan semalam itu tinggal kenangan dan merasakan hari ini sebagai satu permulaan yang baru. Tapi berbeza dari sudut pandang sebagai seorang muslim yang mukmin.. memandang semalam sebagai bekalan untuk akhirat dan hari ini sebagai nilai tambah untuk akhirat selagi mana masih diberi ruang dan peluang untuk hidup di muka bumi Allah ini. Alhamdhulillah... beruntunglah bagi mereka yang dapat merasakan hari-hari kehidupannya dapat diisi dengan perkara kebaikan. 

          Bicara seorang musafir bermula di sini. Sedikit demi sedikit kehidupan yang gelap ditembusi oleh cahaya kebenaran. Entah dari mana datangnya cahaya yang menembusi jiwa dan hati yang penuh dengan karat-karat jahiliah. Orang kata "tak kenal maka tak cinta" dan bila tak cinta maka tiadalah makna sebuah pengharapan dari apa yang dicintainya. Jika manusia yang dicintainya pasti mengharapkan sebuah kasih sayang dan perhatian terhadap dirinya... Jika kebendaan yang dicintainya, pasti memilikinya menjadi pengharapan... Namun jika Allah yang dicintainya pasti pengharapannya tertumpu pada redha Allah. Seorang musafir ini meneruskan langkah pencariannya.... semuanya bermula KETIKA CINTA BERISTIGHFAR.

              Subuh yang hening menjadi saksi cinta ini, kain sejadah menjadi bukti sujudnya seorang musafir dan Al Quran kecil itu, sebagai lambang beristighfarnya sebuah cinta. 

Ketika cinta beristighfar, cinta manusia tidak lagi menjadi sandaran pengharapan bagi musafir itu.
Ketika cinta beristighfar, memiliki segala bentuk kebendaan juga tidak menjadi impian buat musafir itu,
Ketika cinta beristighfar, air mata ketakutan sering membasahi pipi musafir itu,
Ketika cinta beristighfar, langkahnya tersusun dan dipimpin oleh nakhoda iman,
Ketika cinta beristighfar, tidak ada lagi keraguan dalam kehidupan musafir itu,
dan....
Ketika cinta beristighfar, semua tindakannya hanya mengharap redha Allah...


        Musafir itu tidak lagi mengejar mimpi, apatah lagi berangan-angan sebuah kebahagiaan tanpa batasan. Semua ini berlaku apabila cintanya beristighfar lalu membelakangi mimpi-mimpi yang tak pasti realitinya.. Bicara hati musafir itu mengatakan, "mengapa perlu mengejar mimpi?? sedangkan janji Allah itu sudah pasti"  "mengapa harus mengejar mimpi?? sedangkan jalannya hanya perlu dilewati..." 

" Jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan mengukuhkan kedudukan kamu " [Muhammad :7]

             Musafir itu yakin, ini bukan mimpi.. ini sebuah janji.. janji Allah buat hambanya yang bertaqwa dan berazam untuk menjadi amilin dalam penerusan dakwah dan tarbiah... menjadi pewaris dalam menyebarkan risalah islam yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

" Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh,(sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung." [At-Taubah: ayat 111]

            Musafir itu mengatakan ini juga benar.. dan ini juga janji Allah yang benar.. apakah hati dan jiwa masih lagi ingin bermimpi?? 

             Alhamdhulillah, cinta yang beristighfar itu benar-benar membuat musafir yakin dengan perjuangan dan pengharapannya.. Tiada lagi gentar dalam dirinya melainkan rasa takut jika cinta yang beristighfar itu kembali membentuk karat-karat jahiliah. 

             Ya Allah, kurniakanlah aku lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMU, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMU, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMU. Ya Allah kurniakanlah aku iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah kurniakanlah aku cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari mara bahaya dan petaka. HambaMU mohon Ya Allah kecukupan yang tidak sampai hingga terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah aku Ya Allah iman yang sebenarnya sehingga aku tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah naungan rahmatMU kepada ku Ya Allah, keluargaku serta sesiapa saja yang bersama-samaku. Janganlah Engkau biarkan nasib diriku ditentukan oleh diriku sendiri, walaupun sekadar sekelip mata atau sekadar masa yang lebih pendek dari itu... Sesungguhnya hambaMU ini benar-benar mengharap rahmat dan redhaMU. - Aku Musafir Iman...

Sunday, November 27, 2011

Hijrahkan hatimu...

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh...

        Alhamdhulillah, Tiada kata yang agung untuk saya ucapkan melainkan kalimah syukur  kepada Allah SWT yang memberi kesempatan diri ini untuk berada pada tahun baru 1433 Hijrah.. Salam Ma'al Hijrah buat semua umat islam yang InyaAllah diredhai Allah SWT. 

       Setiap kali masuk bulan Muharram, pasti ada acara sambutan ma'al hijrah dilaksanakan. Begitu juga ditempat saya.. sambutan kali ini agak meriah kerana disusuli dengan majlis mini forum ma'al Hijrah. Bersesuaian dengan tema kali ini " PERSEFAHAMAN ASAS PEMBENTUKAN UMMAH" . Saya begitu kagum dan terpegun melihat Ahli panel bersemangat dalam menyampaikan mesej tentang HIJRAH dan pengertian disebalik tema pada tahun ini.. Benar apa yang dikatakan oleh ahli panel, persefahaman itu tidak semestinya kosong dari perselisihan pandangan, tapi perselisihan itu perlu dibatasi dengan kasih sayang sesama insan. Setiap ayat yang dikongsikan dengan masyarakat diselitkan dengan sirah para sahabat. Begitu cantik dan hebatnya persefahaman para sahabat ketika itu dan akhirnya membentuk perpaduan yang tidak akan goyah walau ribut jahiliah yang melanda. Subhanallah..

        HEBAT!! dan Sungguh hebat Alumni-alumni yang lahir dari sekolah tarbiah Rasulullah ini. Jiwa mereka benar-benar telah dirasuk oleh keimanan kepada Allah SWT. Hati mereka telah dikunci dengan ikatan kasih dan sayang. Persaudaraan mereka lebih utuh dari ikatan kekeluargaan. Diri ini tidak dapat membayangkan bagaimana persefahaman yang mereka jalinkan hingga perpaduan itu boleh kekal lama. Teringat sirah hijrah Rasulullah ke Madinah dan akhirnya membawa satu perubahan besar dalam sejarah islam, dimana pertembungan persaudaraan yang paling menakjubkan antara kaum muhajirin dan ansar. Persaudaraan yang dibina atas dasar keimanan ini, menjadikan umat islam pada ketika itu sangat kuat dan digeruni oleh masyarakat lain.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ
كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ
عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ
تَہۡتَدُونَ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya
[surah Ali Imran:103]


        Tertarik dengan ulasan yang diberikan oleh ahli panel. katanya "SE"fahaman akan wujud dan membentuk perpaduan jika ada 3 perkara ini.
1) keimanan yang berlandaskan Allah yang Esa
2) matlamat dan tujuan kita hanya satu
3) kena tahu penghujung hidup kita hanya satu iaitu kembali kepada Allah.

         Malangnya masyarakat islam hanya tahu tapi tak sedar akan kepentingan kesefahaman ini dan akhirnya terbentuklah masyarakat islam yang berpecah belah dan saling bermusuhan sesama sendiri.

Kita sering mendengar... "HIJRAH ITU PENGORBANAN", 
lantas apakah pengorbanan yang patut kita lakukan?
sejauh mana kita menghayati erti pengorbanan Rasulullah dan para sahabat dalam penghijrahan demi menegakkan syiar islam?

       Wahai saudara-saudaraku yang dikasihi.. ayuh! kita sahut cabaran ini dengan mengambil kisah-kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat sebagai batu loncatan untuk kita sama-sama memperbaiki diri dan menjadi mukmin yang dicintai Allah. Saudaraku.. bermula dengan diri kita dulu, mari sama-sama kita hijrahkan hati kita. Kalau dulu hati kita penuh dengan maksiat... kita buang segala maksiat dan kekotoran itu dan hijrahkan ia dengan banyakkan bertaubat.. Kalau dulu hati kita sering kali lalai dalam mengingati Allah, kita hijrahkan hati kita dengan mendekati rumah-rumah Allah dan orang-orang soleh. Kalau dulu hati kita sangat keras untuk menerima kebaikan, kita hijrahkan hati kita dengan memandang dan mensyukuri segala kenikmatan yang Allah beri kepada kita. Moga Allah memilih hati kita untuk bersama-sama dengan Rasulullah dan para sahabat di akhirat kelak. Allahuma ameen.. - Aku Musafir Iman

Tuesday, October 25, 2011

Hadiah buat ibu dan ayah



Alhamdhulillah... segala puji hanya milik Allah yang Esa..

       Tiga tahun... Masa yang cukup panjang dan lama.. seorang musafir iman ini berjihad di negeri orang semata-mata mencari redha Allah dan membawa sebuah kemenangan dan kejayaan untuk diperlihatkan kepada ibu bapa.. Tiada kata yang mula-mula terkeluar dari mulut ini melainkan ucapan syukur kepada Allah SWT.. ALHAMDHULILLAH...
       Buat insan yang dirindui (IBU AYAH).... walaupun kehadiranmu tidak kelihatan di majlis konvokesyen ini, namun segala nasihat, dorongan dan dokonganmu masih lagi terpahat kukuh dalam hati dan ingatan ini. 

"Ibu"... Anakmu ini sentiasa merinduimu, walaupun berjauhan namun kasih sayang dan belaian ibu tetap saya rasakan... teringat pesan ibu, "Hati-hati bila belajar ditempat orang" . Pada mulanya tak faham kenapa ibu suruh "hati-hati".. selepas 3 tahun belajar di negeri orang baru anakmu ini mengerti makna sebuah pencarian ilmu perlu di dasari dengan iman dan langkah berhati-hati agar ilmu yang dipelajari tidak memudaratkan diri bahkan dapat melindungi diri dari sebuah kejahilan. ( berkat belajar di KOLEJ TEKNOLOGI DARULNAIM KELANTAN)

"Ayah"... Jangan risau, anakmu ini tak kecil hati sebab ayah tak dapat datang pada majlis konvokesyen.. Saya faham, ayah bukan tidak mahu datang, tapi ada hal yang lebih penting ayah kena uruskan.. Teringat juga pesan ayah sebelum pergi berjihad di negeri orang.. " Lepas ini tidak mahu dengar alasan kenapa tidak berjaya" ... Ayah! anakmu ini dah buktikan, kejayaan itu telah saya raih di atas pentas dan gambar itu menjadi saksi anakmu ini tidak menghampakan harapan ayah... (berkat doa ayah yang tak putus-putus mengharap sebuah kejayaan anaknya)

"Ayah dan ibu" wajah-wajah merekalah yang menceriakan suasana konvokesyen anakmu ini.. 

Sebuah kemenangan dan kejayaan buat ayah ibu telah saya buktikan.... tetapi kemenangan dan kejayaan di akhirat sana masih lagi ku dambakan... (luahan hati) - Aku musafir iman