Powered by Blogger.
RSS

Islamic Widget

Saturday, February 16, 2013

DAPAT BERPAUT PUN JADILAH




          Alhamdhulillah segala puji bagi Allah yang melimpahkan segala rahmat dan kasih sayang buat hamba-hambaNya yang senantiasa mematuhi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya. Beruntunglah bagi mereka yang menyedari hakikat kehidupan sebagai seorang hamba dan juga khalifah.
                Dalam perjalanan sebuah kehidupan, kita menyedari bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara, namun yang sementara inilah ramai manusia tergelongsor dari landasan keimanan. Banyak persoalan yang bermain difikiran. Kenapa hal ini boleh berlaku? Adakah para daie sudah tidak wujud? Atau adakah disebabkan sistem pemerintahan yang membelakangkan hukum Allah? Dan macam-macam lagi persoalan demi persoalan timbul. Wahai saudaraku, lupakah kita pesan Rasulullah SAW “ telah aku tinggalkan dua perkara kepada kamu yang bilamana kamu mengikutinya, kamu tidak akan sesat, iaitu al Quran dan sunnahku” Tapi hari ini kita lihat, sejauh mana masyarakat islam memandang serius dengan pesan yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW. Bagaimana kita melihat khazanah yang sangat bernilai ini dinyalahkan di dalam setiap hati dan diaplikasikan dalam kehidupan yang sebenar.
                Kita mengatakan Rasulullah adalah “MY HERO”, Rasulullah adalah idola kami, Rasulullah adalah sebaik-baik contoh teladan kami. Tapi malang sungguh ucapan-ucapan itu hanya perhiasan di bibir sahaja. Bukan pada anggota badan seluruhnya. Cuba kita bayangkan, kita berhajat untuk ke suatu tempat yang jauh, dan pada masa itu hanya ada sebuah keretapi yang menghala ke tempat yang kita hajati, dan kita dapati setiap gerabak telah penuh. Agak-agaknya apa yang perlu kita lakukan? Adakah kita hanya mampu melihat saja dan membiarkan keretapi itu bergerak meninggalkan kita? Dan cuba banyangkan pula, kalau yang mengendalikan keretapi itu adalah Rasulullah yang akan membawa kita ke tempat yang selamat dunia dan akhirat. Adakah kita akan terus membiarkan diri kita tanpa melakukan apa-apa? Wahai saudaraku, kalaulah hal demikian berlaku, dan kita tidak dapat memasuki setiap gerabak yang ada disebabkan tidak ada kekosongan. Sekurang-kurangnya bialah kita berpaut pada gerabak itu agar tidak sesat dalam perjalanan kehidupan.
                Kita mengetahui Al Quran dan sunnah Rasulullah SAW adalah panduan dan peta kehidupan. Kita juga meyakini bahawa Al Quran dan sunnah adalah pilihan yang tepat untuk digunapakai dalam kehidupan. Namun hati kita jauh menyimpang dari mengikutinya secara TOTAL. Sebab itulah, tidak hairan kalau hari ini masyarakat islam begitu mudah dihina dan dicaci oleh orang-orang kafir. Mereka sedikitpun tidak gentar dengan bilangan umat islam yang begitu ramai hari ini. Kerana rasa gerun kepada umat islam telah dicabut dari hati mereka, manakala penyakit cintakan dunia dan takutkan mati dicampakkan kedalam jiwa masyarakat yang mengaku muslim. Semua ini berlaku kerana ikatan panduan kehidupan yang telah digariskan oleh Allah SWT begitu longgar dalam setiap jiwa orang-orang muslim. Oleh itu, kualiti umat islam semakin merosot dan akhirnya kehilangan taring dan kehebatan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
                Justeru itu berpautlah pada gerabak yang dibina oleh Rasulullah dengan berpegang kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW agar kita mampu bangkit semula dalam fasa-fasa keruntuhan ini dan mendaulatklan syariat Islam. Jalan dan laluan ini tidak mudah, perlu perjuangan dan pengorbanan yang tinggi, kerana kedua-dua asas ini adalah prasyarat yang wajib ada bagi mereka yang cinta akan kebaikan dan kesyumulan islam. Namun bagi mereka yang memilih landasan lain yang hanya ingin berehat dan bersenang lenang tanpa ada usaha untuk menyelamatkan diri mereka dari azab Allah pasti akan tersesat dan menderita. Mereka inilah yang dikatakan oleh Imam Syafie dalam syairnya : singa yang tidak meninggalkan tempat rehatnya di rimba, tidak akan menemui makannya. Anak panah yang tidak meninggalkan busurnya, tidak akan menepati sasarannya.
                Yakinlah wahai saudaraku, islam pasti akan bersinar di atas muka bumi ini walaupun cuba dihalangi oleh musuh-musuhnya. Allah berfirman dalam surah as Saff ayat 8 yang bermaksud: “ mereka hendak memadam cahaya agama Allah dengan mulut mereka. Allah tetap menyempurnakan cahaya agamaNya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir” dan Allah pasti menolong mereka yang ingin menolong agama Allah. _ Aku Musafir Iman.