Powered by Blogger.
RSS

Islamic Widget

Thursday, December 2, 2010

HIJRAHLAH SEBELUM DIHIJRAHKAN

      Berhijrah lah sebelum kamu dihijrahkan... berhijrah ke arah melakukan kebaikan sebelum dihijrahkan diri kamu ke alam kubur. Sudah bersiapkah kita untuk memasuki tahun hijrah yang baru? Ketibaan bulan Muharram 1432 Hijrah hnya tggal beberapa hari saja lagi,  ini menandakan  usia kita juga semakin bertambah,  ajal kita juga semakin hampir dan kehidupan yang sebenar iaitu kehidupan akhirat juga semakin dekat. Sungguh pantas masa berlalu. Tahun baru 1432 hijrah  kali ini jatuh pada hari selasa bersamaan 7 Januari 2011. Dalam menyambut ketibaan Awal Muharram atau dikenali juga dengan Ma’al Hijrah terdapat beberapa jenis golongan :

Golongan yang pertama : Golongan yang menyambutnya sekadar lahiriah. Mereka menyedari ketibaan Tahun baru hijrah kerana mereka mendapat  cuti umum pada hari tersebut. Kehadiran bulan penuh keberkatan ini tidak mendatangkan apa-apa perubahan dalam diri mereka. Mereka terus dengan tabiat dan perangai kebiasaan. Tidak terlintas di hati mereka untuk melakukan hijrah ke arah kebaikan.

Golongan yang kedua : Mereka menyambut kedatangan bulan Muharram ini dengan azam dan niat untuk melakukan hijrah ke arah kebaikan. Mereka berubah untuk beberapa ketika kemudian kembali kepada perangai lama.

Golongan yang ketiga : Mereka menyambut kehadiran tahun baru hijrah ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Mereka memasang azam yang teguh dan niat yang benar-benar mantap untuk melakukan perubahan dalam diri mereka. Golongan ini berupaya berubah menjadi hamba Allah yang bertakwa, soleh, menghindari perkara yang dimurkai oleh Allah SWT dan mereka terus istiqamah dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

     Mari kita muhasabah diri kita masing-masing. Kita termasuk golongan yang mana di antara tiga golongan yang di atas setiap kali menerima kedatangan Ma’al Hijrah. Kesilapan yang lepas biarkan ia berlalu. Awal Muharram yang terbaru ini jangan dipersia-siakan seperti  sebelum ini. Perubahan ke arah kebaikan mesti dilakukan walau pun kita tidak pasti untuk berapa lama. Begitulah hakikat iman manusia yang kadang-kadang bertambah dan kadang-kadang berkurangan. Sesiapa yang memasang azam untuk berhijrah dia telah mendpat pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

“ Sesiapa yang berniat untuk melakukan  kebaikan tetapi  tidak melakukannya maka dituliskan untuknya satu hasanah ( kebaikan ). Dan sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan kemudian dia melakukannya maka ditulis untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda.”
( Riwayat Imam Muslim)

Alangkah ruginya kita sekiranya tidak memanfaatkan kelebihan yang  Allah SWT sediakan untuk kita. Hanya berniat untuk berubah pun telah diberi pahala. Bila dilaksanakan, digandakan pula sepuluh kali ganda atau seberapa banyak ganjaran yang dikehendaki oleh Allah SWT. Jangan abaikan kasih sayang dan rahmat Allah SWT ini.

APAKAH PERUBAHAN YANG PERLU DILAKUKAN ?

Sabda Nabi SAW :
 “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari )

        Hadis ini merupakan garis panduan untuk melakukan hijrah. Apa-apa perubahan ke arah kebaikan yang dilakukan  merupakan satu hijrah dan telah menepati sabda Rasulullah saw di atas.  Perubahan merangkumi dua perkara iaitu melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan Allah. Melaksanakan suruhan Allah sebenarnya lebih mudah berbanding meninggalkan tegahan Allah SWT. Perubahan yang paling utama ialah melakukan taubat terhadap dosa-dosa yang lampau. Setiap individu muslim wajib bertaubat. Tiada siapa yang terlepas daripada dosa melainkan para Rasul. Taubat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan menghapuskan dosa. Allah SWT telah menjanjikan akan mengampuni dosa sesiapa yang bertaubat.

Dari Nabi SAW bersabda bahawa  Allah berfirman ( hadis qudsi ) :

"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh  itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam  Muslim).

Ini adalah janji Allah SWT dan Maha Suci Allah daripada memungkiri janjiNya. Jangan berputus asa dengan keampunan Allah walau anda bayangkan dosa anda terlalu banyak. Semua itu terlalu mudah bagi Allah yang bersifat dengan al-Tawwab (Maha Penerima Taubat) dan al-Ghaffar ( Maha Pengampun). Diikuti dengan menyempurnakan kewajipan yang telah difardukan seperti solat fardu, puasa bulan Ramadan, zakat dan sebagainya. Mengabaikan perkara fardu adalah satu dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Solat yang ditinggalkan dengan sengaja menyebabkan seseorang itu akan menghuni neraka Saqar. 
Firman Allah SWT :

 "Apakah yang memasukkan kamu ke dalam  neraka Saqar?. mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan shalat. ( Surah al-Muddatsir : 42 dan 43 )

Jagalah anggota-anggota daripada melakukan dosa. Nikmat percakapan, pendengaran, penglihatan dan anggota-anggota lain jangan disalahgunakan untuk perkara yang diharamkan oleh syarak. Semua anggota kita akan menjadi saksi di akhirat nanti. 
Firman Allah SWT  :

Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan ( Surah al-Nur : 24 )

Tingkatkan amal soleh seumpama ingin menjaga solat fardu berjamaah, tilawah al-Quran setiap hari, bersedekah, memperbanyakkan solat sunat, melazimi qiyamullail dan banyak lagi amalan-amalan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Tingkatkan juga ilmu agama agar sentiasa cenderung untuk meningkatkan keimanan dan amal soleh. Ibadat yang dilakukan juga hendaklah menepati ibadat Rasulullah SAW supaya ibadat tidak menjadi sia-sia sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

” Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan bukan daripada perintah kami maka amalan itu tertolak( tidak diterima).( riwayat Imam al-Bukhari )

APAKAH AMALAN KHAS BULAN MUHARRAM ?

Berpuasa Sunat

       Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

“Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah,Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam.(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)

        Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram  lebih banyak berbanding bulan-bulan lain. Puasa bulan Muharram lebih  lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram. Puasa ‘Asyura ini pada asalnya adalah wajib. Kemudian menjadi sunat setelah puasa Ramadan difardukan sebagaimana sabda rasulullah SAW hadis riwayat Muawiyah ra berkata : aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. ( Imam al-Bukhari dan Muslim).

Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan  atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan”. Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw  ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab :”Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”.
( Riwayat Imam Muslim).

       Bersama-samalah kita memanfaatkan kesempatan dan peluang menemui bulan Muharram 1432 Hijrah pada kali ini dengan sebaik mungkin. Muharram tahun depan belum pasti kita temui, mungkin  Malaikat Maut yang akan  menemui kita terlebih dahulu. Berhijrahlah sebelum anda dihijrahkan ke alam barzakh.  Wallahu'alam...

1 comment:

Hanif Ismail said...

Moga kita mengerti apa itu erti nya..Hijrah..

Post a Comment